KUALA LUMPUR, 8 Mei – Pihak polis tidak dipanggil bagi membincangkan peraturan baru Kementerian Pengangkutan mengenai cermin gelap kenderaan persendirian, kata Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman Azisman Alias.
Azisman berkata pihak polis tidak bersetuju dengan peraturan tersebut yang akan menyukarkan pihaknya dalam melakukan tugas penguatkuasaan pasukan keselamatan itu.
“Saya rasa terkilan, sebaik-baiknya mereka berbincang dan mungkin boleh ambil pandangan daripada kita,” tegas Azisman seperti dilaporkan Berita Harian.
Azisman turut menjelaskan, keselamatan pasukan keselamatan juga akan terjejas disebabkan kesukaran untuk melihat penumpang ketika pemeriksaan dijalankan.
“Sebelum ini kita boleh nampak penumpang dan pemandu, namun dengan peraturan baharu ini tiada had ketelusan cahaya dibenarkan.
“Ia sukar bagi polis untuk membuat pemeriksaan dan mengesan penumpang di bahagian belakang,” katanya.
Semalam, Menteri Pengangkutan Anthony Loke mengumumkan para pemilik kenderaan persendirian boleh menggunakan cermin gelap sepenuhnya di bahagian belakang dan cermin sisi kiri dan kanan penumpang bermula hari ini.
Bagaimanapun, katanya kadar peratusan ketelusan cahaya (VLT) bagi cermin depan dan cermin sisi kiri dan kanan pemandu masih kekal, masing-masing 70 peratus dan 50 peratus.