KUALA LUMPUR, 3 OKT – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar memberi nasihat kepada Ahli Parlimen Ipoh Timur, Howard Lee Chuan How agar berhati-hati dalam menafsir ayat al-Quran.
Beliau berkata, nasihat itu adalah bagi mengelak daripada berlakunya perkara yang boleh menimbulkan salah faham dalam kalangan masyarakat terutama di zaman media sosial ketika ini.
“Howard Lee hadir mengunjungi saya di Casuarina Kuala Kangsar,
“Dia bersetuju dengan nasihat saya supaya lebih berhati-hati dalam mengambil petikan ayat al-Quran agar tidak menimbulkan salah faham terutama di zaman media sosial ini,” katanya menerusi satu hantaran di laman Facebooknya pada Selasa.
Menurutnya, pertemuan dengan Ahli Parlimen Ipoh Timur itu secara tidak langsung dapat membina persefahaman iaitu Islam tetap wajib ditegakkan di Malaysia sebagai agama Persekutuan.
Sebelum ini, Howard Lee dikecam apabila membuat tafsiran sendiri terhadap ayat al-Quran dalam salah satu video TikToknya.
Bagaimanapun, media melaporkan, ahli politik DAP itu telah tampil memohon maaf berhubung isu berkenaan selepas selesai memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak. -airtimes.my