KUCHING, 17 SEPT – Kehadiran aset kenderaan tempur berperisai Gempita serta MIFV akan mempertingkatkan tahap kesiagaan Tentera Darat Malaysia (Tentera Darat) di Sabah dan Sarawak.
Panglima Medan Timur Tentera Darat, Leftenan Jeneral Dato’ Mohd Sofi Md Lepi berkata, kehadiran aset tempur itu adalah sebahagian daripada rancangan pembangunan kesiagaan dan keupayaan tempur di kedua-dua negeri.
Beliau menyatakan perkara tersebut ketika menyampaikan Perutusan Perintah Ulung Panglima Medan Timur Tentera Darat ke-6 di Kem Muara Tuang, 15 September lalu.
“Pindah alih 26 buah kenderaan perisai Gempita 8×8 dari Wilayah Satu ke Pasukan Rejimen Keempat Kor Armor Diraja,
“Dan juga pengekalan satu kompeni mekanise bersama kenderaan perisai Gempita 8×8 di Sandakan serta satu kompeni mekanise bersama kenderaan Malaysian Infantry Fighting Vehicle (MIFV) di Lahad Datu merupakan sebahagian daripada rancangan pembangunan kesiagaan dan keupayaan di Pemerintahan Medan Timur Tentera Darat,” katanya ketika menyampaikan ucapan.
Jelas beliau, pengekalan kompeni mekanise Gempita di Sandakan dan MIFV di Lahad Datu telah diletakkan di bawah perintah markas 5 Divisyen.
Mohd Sofi turut menegaskan setiap pihak di bawah Pemerintahan Medan Timur Tentera Darat untuk sentiasa peka terhadap rancangan pembangunan kesiagaan dan keupayaan yang akan mahupun telah dilaksanakan di Sabah dan Sarawak.
“Selari dengan pembangunan aset, aspek latihan dan pembangunan keupayaan anggota yang berpengetahuan tinggi serta berkemahiran juga hendaklah diberi penekanan,” katanya.
Pada awal September lalu, Air Times melaporkan pemindahan kenderaan berperisai Gempita ke Kuching, Sarawak. Proses pemindahan itu melibatkan atur gerak kapal logistik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), KD MAHAWANGSA.
Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohammad Ab Rahman menyatakan proses pemindahan itu juga selari dengan keperluan Kertas Putih Pertahanan dan Pelan Pembangunan Strategik Tentera Darat 2021-2050.
“Tentera Darat telah merancang untuk melengkapkan Kenderaan Perisai di dua wilayah melibatkan Malaysia Barat dan Malaysia Timur,
“Ini bagi melaksanakan tugas dalam persekitaran geostrategik pelbagai domain secara serentak sejajar dengan rancangan transformasi Tentera Darat sebagai Angkatan Masa Hadapan,” katanya semasa sidang media di Kem Sungai Besi, Kuala Lumpur pada 5 September.
Pemindahan kenderaan tempur berperisai ke Sarawak sekaligus memberikan isyarat bahawa Tentera Darat akan melaksanakan pelan perolehan 136 aset tersebut yang dijangka akan selesai Disember ini.
AV8 Gempita merupakan kenderaan tempur berperisai 8×8 yang dihasilkan oleh DEFTEFCH Defence Technology. Kenderaan ini direka dengan bantuan syarikat Turkiye, FNSS, yang berasaskan Pars.
K200A1 atau lebih dikenali sebagai MIFV merupakan kenderaan berperisai yang dibeli dari Korea Selatan. – airtimes.my