KUALA LUMPUR, 3 OKT – Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohammad Ab Rahman hari ini menegaskan kerjasama antara 5 negara Peraturan Pertahanan Lima Negara (Five Power Defence Arrangements, FPDA) mampu untuk menyumbang kepada keamanan, keselamatan dan kestabilan serantau.
Menurut beliau, kerjasama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dengan pasukan sahabat dari Australia, New Zealand, Singapura dan United Kingdom (UK) telah merangkumi pelbagai skop serta elemen baharu sepanjang 52 tahun penubuhannya.
Ini merangkumi elemen keselamatan maritim, anti keganasan, dan bantuan kemanusiaan semasa bencana (HADR).
“(FPDA) ini terbukti menjadi platform yang boleh dipercayai bagi memupuk amanah, keyakinan dan daya saling operasi di kalangan pasukan tentera negara anggota,
“Ia sekaligus memberikan sumbangan yang ketara kepada keamanan, kestabilan dan keselamatan serantau,” kata Panglima Angkatan Tentera semasa sidang media di Kuala Lumpur, hari ini.
Terdahulu, beliau mempengerusikan Persidangan Panglima Angkatan Tentera FPDA ke-22 (22nd FPDA Defence Chiefs’ Conference, FDCC) yang berlangsung di InterContinental Kuala Lumpur.
Menyentuh mesyuarat tersebut, Mohamad menyatakan kesemua negara anggota telah bersetuju untuk memberikan pertimbangan kepada beberapa perkara yang dibangkitkan semasa pertemuan itu.
“Kami telah bersama-sama menetapkan hala tuju yang jelas bagi memacu pembangunan latihan dan aktiviti di bawah FPDA,
“Ia bertujuan untuk meningkatkan kapasiti operasi dari segi konvensional dan bukan konvensional,
“Ini bagi meningkatkan kerjasama tradisi antara angkatan tentera, kebolehoperasian dan memupuk ikatan yang lebih erat di antara negara anggota FPDA,” katanya.
Mesyuarat ini turut dihadiri General Angus Campbell, Chief Of Defence Force, Australia; Air Marshal Kevin Short, Chief Of Defence Force, New Zealand; Vice Admiral Aaron Beng, Chief Of Defence
Force, Singapore dan General Gwyn Jenkins, Vice Chief of the Defence Staff Of The United Kingdom.
Kelima-lima pemimpin telah hadir ke FDCC bagi mengadakan dialog dan perbincangan kerjasama angkatan tentera di bawah kerangka FDPA.
Kenyataan bersama FPDA yang dikeluarkan oleh Markas ATM menyatakan kesemua wakil telah bersetuju untuk meneruskan komitmen mereka terhadap FPDA.
“Mereka telah bersetuju untuk menekankan kepentingan konsep 3R (Remit, Relevance, and Reassurance) bagi memacu pembangunan FPDA pada masa hadapan,
“Kesemua ketua Angkatan Tentera yang hadir turut menggariskan kepentingan FPDA sebagai satu aturan yang telus, membina dan menggalakkan keamanan dalam keselamatan serantau,” kata kenyataan itu.
Tambahnya, FPDA akan terus kekal relevan melalui penyesuaian dengan cabaran keselamatan yang sentiasa berkembang serta memperkukuh nilai operasinya dalam sfera konvensional.
Di samping itu, FPDA membangunkan keupayaan dalam keselamatan maritim, memerangi keganasan, bantuan kemanusiaan dan bantuan bencana, dan domain siber serta maklumat,” kata kenyataan bersama itu.
Tambahnya, persidangan itu turut menggariskan pelan hala tuju lima tahun untuk kemajuan FPDA.
“Pelan ini akan memacu evolusi latihan FPDA serta inisiatif dalam meningkatkan kapasitinya untuk operasi konvensional dan bukan konvensional,” katanya.
FPDA merupakan antara aturan pertahanan yang telah ditubuhkan pada tahun 1971. – airtimes.my
#AirTimes #Malaysia #Pertahanan #ATM #FPDA #KualaLumpur