KLANG, 13 Mei – Cubaan satu sindiket untuk menyeludup masuk 35 pendatang asing tanpa izin (PATI) gagal, apabila diberkas pihak polis di kedudukan 6.6 batu nautika dari persisiran pantai Sungai Semilang, pada Rabu.
Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjelaskan, kegiatan itu berjaya dikesan menerusi Op Pintas sepasukan pegawai dan anggota Bahagian D3 Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (Atipsom) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Bukit Aman dengan kerjasama Pasukan Polis Marin Wilayah 1, Pelabuhan Klang, Selangor.
Menurut sumber, kesemua PATI itu ditahan bersama 3 tekong laut kira-kira jam 12.30 tengah malam.
“Semakan mendapati kesemua tangkapan termasuk 5 wanita ialah warga Indonesia berusia lingkungan 30 hingga 51 tahun,
“Soal siasat terhadap PATI ini mendakwa mereka membayar RM1,500 hingga RM1,800 untuk diseludup masuk ke Malaysia melalui jalan tidak diwartakan menaiki bot pom-pom,” katanya seperti dilaporkan Sinar Harian pada Sabtu.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay ketika dihubungi Sinar Harian mengesahkan tangkapan terbabit.
“Kesemua tangkapan telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara untuk siasatan lanjut,
“Kes disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma),” ujarnya.
Operasi ini dilaksanakan adalah untuk mengesan dan mencegah elemen kesalahan berkaitan penyeludupan migran yang dipercayai memasuki Malaysia melalui jalan yang tidak diwartakan iaitu jalan laut.
Tambah JSJ, operasi ini akan dijalankan secara berterusan bagi mengekang kemasukan secara haram pendatang negara jiran. -airtimes.my