SEMPORNA, 9 Nov – Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) telah mengalami perubahan yang begitu mantap di negeri ini khususnya melibatkan menempatan aset dan anggota bagi mengukuhkan aspek keselamatan di perairan Sabah.
Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Laksamana Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin berkata penubuhan Markas Pemerintahan Armada Timur di Kota Kinabalu antara bukti jelas perubahan oleh TLDM.
Katanya, begitu juga pemindahan Markas Wilayah Laut 2 dari Sepanggar ke Sandakan yang bertujuan memperkukuh keselamatan dan memperkuat kehadiran anggota di pantai timur Sabah.
“Ini perubahan yang begitu besar dan dituruti pemindahan aset dari Lumut dan Kuantan ke Sabah bagi menangani keperluan komitmen operasi di perairan timur Sabah dan perairan Sulu,” katanya kepada pemberita pada majlis Lawatan Pengunduran Panglima Tentera Laut di KD Sri Semporna di sini hari ini.
Menurutnya aset TLDM yang terdapat di negeri ini termasuk pangkalan hadapan Tun Azizan dan Sharifah Rodziah serta kewujudan unit Pasukan Khas Laut (PASKAL) menjadikan keupayaan TLDM terus dimartabatkan di negeri Sabah.
Terdahulu, Ahmad Kamarulzaman, yang dalam proses persaraan selepas berkhidmat selama 42 tahun dengan TLDM berharap kerajaan Pakatan Harapan dapat memberi sokongan terhadap perancangan jangka panjang TLDM.
Ahmad Kamarulzaman dalam pada itu mahu anggota TLDM terus menyumbang bakti dengan penuh keikhlasan dalam perjuangan dan menyemai nilai-nilai murni dalam diri iaitu kesetiaan, keberanian dan kebanggaan.
“Budaya kerja kita perlu lebih mantap setiap hari dan perlu terus berusaha menjadi modal insan yang rajin menimba ilmu serta menjadi anggota yang mampu membantu memartabatkan perkhidmatan,” katanya. – BERNAMA