KUALA LUMPUR, 10 Mei – Jabatan Hal Ehwal Veteran Angkatan Tentera Malaysia (JHEV ATM) menegaskan, hanya anggota angkatan sukarela yang dikerah sepenuh masa oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) layak diiktiraf sebagai veteran ATM.
Sehubungan itu, Encik Ruslan (bukan nama sebenar) yang dilaporkan sebagai veteran ATM dan meneruskan hidup sebagai gelandangan di Kuala Lumpur setelah menamatkan perkhidmatan dalam ATM adalah tidak benar.
JHEV ATM menjelaskan sedemikian bagi merujuk laporan di portal online bertajuk ‘Dulu berkhidmat sebagai Askar Wataniah, kini jadi gelandangan Kuala Lumpur’ dan ‘Once a soldier, now sleeping rough on the streets of KUALA LUMPUR’ yang disiarkan pada 4 Mei 2022.
Menurut JHEV ATM, semakan mendapati individu yang dirujuk dalam laporan tersebut pernah memasuki latihan asas rekrut pada tahun 1994 selama 3 bulan sahaja.
“Beliau tidak meneruskan latihan kerana menghadapi masalah kesihatan. Sebaik ditamatkan latihan asas rekrut, individu berkenaan telah berkerja di sektor perkilangan,
“Walau bagaimanapun, disebabkan masalah kesihatannya, individu berkenaan telah diberhentikan kerja dan diberikan pencen ILAT oleh PERKESO,” jelas JHEV ATM.
Tambah JHEV, disebabkan minat dengan perkhidmatan ATM, beliau telah menyertai Askar Wataniah (AW) dan pernah bertugas di Markas Rejimen 503 (AW) di Ipoh, Perak dan di Batalion Ke-2 Rejimen 503 (AW) di Seksyen 16, Shah Alam, Selangor.
“Berdasarkan Akta Veteran 2012, hanya anggota angkatan sukarela yang dikerah sepenuh masa oleh ATM layak diiktiraf sebagai veteran ATM,
“Dalam hal ini, penglibatan individu tersebut dalam Askar Wataniah hanyalah sebagai sukarela sahaja dan tidak pernah dikerah sepenuh masa,” tegasnya.
Dalam kenyataan yang sama, JHEV ATM turut menjelaskan, perkhidmatan AW meliputi skim pegawai dan anggota Sukarela, skim pegawai serta anggota yang dipertugaskan sepenuh masa termasuk Tauliah Kehormat.
“Hanya pegawai atau anggota yang dipertugaskan sepenuh masa sahaja akan diiktiraf sebagai veteran ATM setelah menamatkan perkhidmatan,” ujarnya.
JHEV ATM berpendapat laporan berita yang dilaporkan adalah salah dan tidak tepat. Sebaliknya ia memberi gambaran yang negatif kepada Kementerian Pertahanan amnya dan secara khususnya kepada JHEV ATM.
Sehubungan itu, JHEV ATM menyarankan dan menasihatkan mana-mana agensi, media, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau orang persendirian untuk merujuk kepada Ibu Pejabat JHEV ATM atau JHEV ATM cawangan negeri berdekatan sebelum melaporkan sebarang isu berkaitan permasalahan veteran ATM.
Tambahnya, tindakan itu perlu agar tidak berlaku kesilapan pelaporan maklumat yang tidak sahih yang boleh menjejaskan imej kewartawanan.
“JHEV ATM sentiasa mengalu-alukan laporan atau kritikan daripada pelbagai medium yang bersifat membina yang mampu memperbaiki lagi mutu dan kualiti penyampaian perkhidmatan JHEV ATM,
“Sebarang maklumat dan bantuan yang disediakan serta informasi terkini boleh diperolehi melalui laman sesawang www.jhev.gov.my atau media sosial JHEV ATM atau menghubungi Talian Khidmat Pelanggan JHEV ATM di talian 03-2697 6600,” jelas kenyataan itu lagi.
Terdahulu, sebuah portal menyiarkan kisah kehidupan Ruslan, 46 yang hidup sebatang kara di sekitar Kuala Lumpur sejak 4 tahun lalu.
Ruslan pernah mencuba untuk mencari kerja kosong di sekitar ibu kota tanpa mementingkan kadar bayaran upah dan gaji asalkan boleh menampung kos sewa bilik, namun selepas memikirkan bayaran ILAT yang diterimanya, dia tersekat untuk meneruskan hasratnya. -airtimes.my