SHAH ALAM, 11 Jan – Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu berkata laporan kedua Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan berhubung kes dan pembelian aset yang mencurigakan dalam Kementerian Pertahanan akan diterima selewat-lewatnya hujung bulan ini.
Menurut Mohamad, beliau bersedia mendedahkan laporan kedua itu yang dipengerusikan bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang jika ditanya di Parlimen Mac depan.
Memetik laporan Bernama, beliau berkata, pihak kementerian tidak mempunyai apa-apa untuk disembunyikan berhubung isu tersebut.
“… kalau ditanya di Parlimen, saya sedia menjawab apa-apa soalan berkaitan itu,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Terdahulu, Mohamad menyaksikan majlis menandatangani perjanjian di antara Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Yayasan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) bagi Projek Endowmen Pembangunan Residensi di UiTM Puncak Alam.
Mohamad sebelum ini dipetik berkata, pihaknya akan mendedahkan laporan tersebut kepada umum selepas kementerian menerima laporan kedua daripada jawatankuasa berkenaan yang ditubuhkan kerajaan Pakatan Harapan pada 30 Mei lalu.
Pada 22 Mei tahun lepas, Mohamad berjanji akan menyiasat segala dakwaan berkaitan Kementerian Pertahanan termasuk isu pembelian dua unit kapal selam Scorpene serta pembaziran dan dakwaan salah guna kuasa melibatkan pembelian aset Angkatan Tentera Malaysia (ATM).