LANGKAWI, 30 Mei – Tiada siapa menyangka, hasil menunggang skuter sejauh 4 kilometer (km) dari asrama penginapan membuahkan hasil apabila tidak tersangkut dengan kesesakan lalu lintas menuju ke Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2023 (LIMA’23).
Lebih mengembirakan, apabila petugas di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC) membenarkan membawa masuk skuter berkenaan ke kawasan pameran untuk memudahkan pergerakan.
Menurut Natasha Mokhtar, 36, beliau tidak menyangka dapat membawa masuk skuter kesayangannya bersama untuk memasuki ruang pameran udara yang terdapat di LIMA’23 pada Jumaat lalu.
Jelasnya, mengunjungi LIMA’23 dengan menaiki skuter agak menarik, selain dapat mengelak dari kesesakan, ia berguna apabila hendak bergerak dari satu lokasi ke lokasi lain dalam tapak pameran udara ini berikutan kawasannya yang luas.
“Datang naik skuter sangat menarik. Bila sampai polis yang jaga di depan pintu masuk beri kebenaran untuk masuk dan bawa skuter, lagi saya suka. Memudahkan saya hendak pusing-pusing di kawasan sini,
“Kalau ikutkan saya, ingat nak tinggal di kawasan parkir motosikal sahaja, tetapi bila dapat tahu boleh bawa masuk, saya bawa masuk,
“Risau keadaan jalan yang jem, itu saya membuat keputusan bawa skuter, hanya 4 kilometer dari rumah, tak jadi masalah,” jelasnya kepada Air Times pada Jumaat lalu.
Natasha yang bertugas sebagai Jurutera Elektrik merupakan salah seorang daripada ribuan pengunjung yang hadir ke LIMA’23 di MIEC yang dibuka kepada orang awam pada 26 hingga 27 Mei 2023.
Rata-rata pengunjung yang hadir bersemangat dan teruja untuk menyaksikan dengan lebih dekat aset-aset pertahanan serta keselamatan negara.
Mengulas lanjut, Natasha menjelaskan, beliau sangat teruja apabila dapat memasuki ruang pameran udara dengan lebih dekat berbanding hanya menyaksikan di kaca televisyen.
“Saya sangat teruja bila sampai sini, terutama apabila dengar bunyi enjin pesawat memang lain dan sangat unik,
“Selain itu, dapat melihat sendiri pesawat-pesawat yang sebelum ini tidak pernah tengok, ia amat menyeronokkan,” tambahnya lagi.
Anak kelahiran Bera, Pahang yang datang ke Langkawi sejak Rabu lalu turut menjelaskan, penganjuran LIMA’23 ini sangat mengagumkannya sebagai rakyat Malaysia.
“Bagi kami rakyat biasa, tidak tahu sangat tentang aset-aset tentera, jadi bila masuk ke sini dan lihat sendiri semua aset-aset yang dipamerkan ia sangat mengujakan,
“Persembahan udara juga sangat menarik. Hebat mereka buat pertunjukan dengan sangat baik,” tambahnya lagi.
LIMA’23 secara rasmi melabuhkan tirainya pada Sabtu lalu selepas 5 hari berlangsung bermula 23 Mei 2023.
Bertemakan ‘Titik Perhubungan Perdagangan Maritim dan Aeroangkasa Asia’, LIMA’23 menjadikan Langkawi sekali lagi tumpuan dunia apabila tempat berkumpul pelbagi jenis aset pertahanan, aeroangkasa dan maritim yang berteknologi tinggi serta terkini.
Memasuki edisi ke-16 dianjurkan sejak kali pertama diadakan pada 1991, LIMA’23 berjaya meletakkan penanda aras baru kepada kemampuan negara menganjurkan pameran bertaraf antarabangsa. -airtimes.my