Jakarta, 24 Okt – Armada kapal selam Tentara Nasional Indonesia – Angkatan Laut (TNI-AL) kini diperkuatkan dengan sistem pertahanan anti torpedo dari Turki.
TNI-AL dilaporkan telah menerima sejumlah sistem pertahanan anti-torpedo dari ASELSAN yang akan digunakan pada kapal selam mereka.
Menurut laporan media Turki, Daily Sabah, peralatan yang dibekalkan adalah sistem umpan akustik dan penyesak (acoustic decoy and jammer) ZOKA.
Indonesia merupakan negara pertama yang menggunakan sistem ini selepas Turki.
Kelengkapan yang diperoleh pada tahun 2019 itu akan dipasang pada kapal selam kelas Nagapasa (Type 209/1400) buatan Korea Selatan.
Jammer bertindak mengularkan bunyi bagi mengelirukan sistem panduan torpedo dari menyerang kapal selam.
Selain itu, decoy diprogramkan untuk menghasilkan bunyi akustik mirip kapal selam bagi mengalih serangan torpedo.
TNI-AL mengoperasikan 2 kelas kapal selam iaitu Cakra dan Nagapasa.
Kapal selam kelas Cakra, KRI Cakra dan KRI Nanggala dioperasikan semenjak tahun 1981. Pada ketika ini, KRI Cakra sedang menjalani penyelenggaraan.
Kelas Nagapasa adalah terdiri daripada 3 buah kapal selam yang melibatkan usahasama dengan syarikat Korea Selatan, Daewoo Shipbuilding & Marine Engineering (DSME).
2 buah kapal selam dari kelas ini, KRI Nagapasa dan KRI Ardedali telah dioperasikan oleh TNI-AL sejak 2017 serta 2018.
Kapal selam ketiga kelas Nagapasa, KRI Alugoro merupakan kapal selam pertama yang dipasang di Indonesia. Kapal selam ini sedang menjalani ujian pelayaran.
Selain itu, Indonesia merancang 3 buah lagi kapal selam dari kelas ini. – airtimes.my