KUALA LUMPUR, 30 Sept – Seramai 174 daripada 284 orang mangsa sindiket penipuan pekerjaan rakyat Malaysia masih terkandas dan ditahan di luar negara.
Setiausaha Polis, Datuk Noorsiah Saaduddin berkata, pihaknya telah menerima sebanyak 224 laporan berkaitan kes penipuan pekerjaan di luar negara sejak 2021 hingga hari ini.
Jelasnya, laporan itu diterima daripada ahli keluarga dan kenalan mangsa membabitkan 284 pekerja yang diperdaya sindiket terbabit dengan 174 daripadanya masih terkandas di luar negara hingga kini.
“Seramai 110 orang mangsa pula berjaya diselamatkan dan dibawa pulang semula ke negara ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Noorsiah menjelaskan, pihak polis akan terus menggunakan semua platform untuk bekerjasama dengan pelbagai agensi terutama Polis ASEAN (ASEANAPOL) dan Polis Antarabangsa (INTERPOL) untuk menangani penipuan tawaran kerja kepada warganegara ini di luar negara.
Tambahnya, pihak polis turut terlibat dalam jawatankuasa khas yang diterajui oleh kementerian luar negeri.
“Masyarakat dinasihati supaya lebih berhati-hati terutamanya ketika menerima tawaran pekerjaan di luar negara melalui media sosial oleh mana-mana pihak,
“Pastikan semakan mengenai kesahihan atau ketulenan maklumat majikan dibuat dengan kementerian luar negeri, sebelum menerima sebarang tawaran pekerjaan di luar negara,
“Pihak polis juga mengalu-alukan kerjasama daripada masyarakat untuk melaporkan sebarang maklumat mengenai kegiatan jenayah sindiket penipuan pekerjaan agar tindakan lanjut dapat diambil,” ujarnya.-airtimes.my