BANGKOK, 11 Jul – Menteri Pertahanan Mohamad Sabu hari ini menghadiri Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN ke-13 (ADMM) yang berakhir dengan penandatanganan sebuah Deklarasi Bersama mengenai kemampanan keselamatan dan penerimaan inisiatif-inisiatif untuk memperkukuhkan kerjasama keselamatan dan pertahanan di rantau ini.
Deklarasi Bersama Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN mengenai Kemampanan Keselamatan itu menekankan peri pentingnya untuk bekerja bersama-sama dalam menjaga keselamatan dan kestabilan di rantau ini dan meneroka bidang-bidang kerjasama baharu yang saling memberi manfaat.
Mesyuarat turut menerima pakai enam kertas konsep, sebagai keterangan bagi menunjukkan hasrat ASEAN untuk memperkukuhkan kerjasama dalam menangani cabaran-cabaran keselamatan utama serantau.
Dokumen-dokumen itu ialah: Kertas Konsep mengenai Garis Panduan bagi Penilaian Inisiatif-inisiatif ADMM; Kertas Konsep mengenai Peranan Pertubuhan-Pertubuhan Pertahanan ASEAN dalam Menyokong Pengurusan Sempadan; Kertas Konsep mengenai Perluasan Infrastruktur Komunikasi Langsung ASEAN dalam proses ADMM dengan negara-negara “Plus”; Terma-terma Rujukan (TOR) ‘ASEAN Our Eyes’; Kertas Konsep mengenai penubuhan Persidangan Perubatan Ketenteraan ASEAN; dan Garis Panduan ADMM untuk Interaksi Maritim.
Timbalan Perdana Menteri Thailand Jeneral Prawit Wongsuwon mempengerusikan ADMM ke-13 yang bertemakan “Keselamatan Mampan” untuk membantu memajukan tema kepimpinan Thailand “Memajukan Perkongsian untuk Kelestarian”. Kesemua sepuluh menteri pertahanan dan Setiausaha Agung ASEAN menghadiri mesyuarat itu.
Dalam satu kenyataan, Kementerian Pertahanan berkata kehadiran Mohamad pada mesyuarat ADMM ke-13 itu adalah satu manifestasi akan komitmen berterusan Malaysia terhadap ADMM dan ASEAN, yang kekal sebagai platform pelbagai hala penting yang menyumbang kepada diplomasi pertahanan Malaysia dengan rakan-rakan serantau.
Ia juga berkata ADMM juga telah membincangkan dan memberi sorotan kepada kepentingan untuk mempertingkatkan kesedaran dan memperkukuh kerjasama pertahanan dalam menyokong pengurusan sempadan di samping memerangi kegiatan penangkapan ikan haram, tidak dilapor dan tidak diselia undang-undang (IUU Fishing) yang seringkali dikaitkan dengan jenayah merentasi sempadan, seperti pemerdagangan manusia, pengedaran dadah dan pelanunan.
“Secara keseluruhannya, ADMM ke-13 bertujuan melestarikan kerjasama pertahanan bagi mewujudkan persekitaran kondusif dan ketersambungan antara penduduk ASEAN dan dalam masa sama memelihara keamanan, keselamatan, dan kestabilan di rantau ASEAN,” katanya.
Kementerian Pertahanan berkata ADMM ke-13 juta mengiktiraf kepentingan rakan-rakan di luar rantau untuk mencapai keamanan dan kestabilan serantau yang mana Menteri-Menteri Pertahanan AMS bersetuju untuk memperluaskan telekomunikasi langsung dan selamat antara menteri-menteri pertahanan negara-negara anggota ASEAN menerusi Infrastruktur Komunikasi Langsung ASEAN (ADI), yang kini akan merangkumi negara-negara “Plus” di samping terus mengamalkan kerjasama pertahanan yang praktikal bagi pembinaan keupayaan dan kebolehoperasian menerusi ADMM-Plus EWGs.
Ia berkata ADMM menyasarkan untuk memupuk kepercayaan dan keyakinan bersama menerusi kefahaman yang lebih mendalam mengenai cabaran-cabaran pertahanan dan keselamatan selain memperkukuh ketelusan dan keterbukaan.
Mesyuarat itu turut berperanan sebagai sebuah platform bagi menteri-menteri pertahanan ASEAN untuk mempertimbangkan dan menerima pakai dokumen-dokumen utama mengenai inisiatif-inisiatif ADMM dan membuat persiapan untuk Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN-Plus (ADMM-Plus) pada November 2019.
Mesyuarat ADMM itu adalah juga mesyuarat peringkat tertinggi dalam kalangan pertubuhan-pertubuhan pertahanan negara-negara anggota ASEAN, yang telah diadakan setiap tahun sejak 2006, di bawah payung Komuniti Politik-Keselamatan ASEAN (APSC).
Sebagai acara sampingan mesyuarat ADMM ke-13, Mohamad dan menteri-menteri pertahanan ASEAN telah melakukan kunjungan hormat terhadap Perdana Menteri Thailand, Jeneral Prayuth Chan o-cha.
Dalam pertemuan mereka, para menteri pertahanan ASEAN bersetuju dengan pandangan Jeneral Prayuth mengenai pentingnya ADMM bekerja bersama-sama berpandukan prinsip-prinsip saling mempercayai, saling menghormati dan perkongsian ASEAN dalam menangani cabaran-cabaran keselamatan bersama serantau.
Prayuth, yang juga Menteri Pertahanan yang baharu juga memuji pencapaian-pencapaian dan komitmen ADMM dalam memajukan ASEAN dan beliau yakin kerjasama rapat antara pertubuhan-pertubuhan pertahanan negara-negara anggota ASEAN akan menjadikan ASEAN lebih kuat. – Bernama