TOKYO, 17 Dis – Mengiktiraf kepakaran Jepun dalam ruang siber, Malaysia menggalakkan penerusan kepada kerjasama ASEAN-Jepun, untuk meningkatkan lagi standard keselamatan siber di rantau Asia Tenggara dengan perkongsian amalan terbaik, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata ini kerana dengan pengembangan landskap digital, ancaman siber juga meningkat secara cepat.
“Bersama-sama, kita mesti mengutamakan perlindungan untuk rakyat daripada eksploitasi siber yang berkaitan dengan keganasan, pemerdagangan orang serta pelbagai jenayah siber dan transnasional,” katanya dalam ucapannya dalam agenda pertama Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-Jepun, bertemakan Kajian Semula Hubungan ASEAN-Jepun.
Perdana Menteri berkata Jepun boleh berkongsi dengan ASEAN pengetahuan dan kemahirannya, dengan memfokuskan kepada bidang seperti perlindungan harta intelek, privasi data dan risikan ancaman.
Menurut Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Keadilan ASEAN-Jepun Julai lalu, yang dianjurkan bersama oleh Malaysia dan Jepun, Anwar berkata Malaysia menggalakkan ASEAN dan Jepun membangunkan inisiatif pendidikan.
Beliau berkata perkara ini boleh membantu untuk menggalakkan pemahaman dalam kalangan orang ramai mengenai nilai yang membentuk undang-undang dan sistem perundangan kita, serta undang-undang antarabangsa.
“Selama ini, hubungan ASEAN-Jepun telah berkembang pesat berdasarkan kepada tiga tonggak.
“Pada ketika kita menyambut hubungan 50 tahun, kita mewujudkan Perkongsian Strategik Komprehensif ASEAN-Jepun,” katanya.
Sidang itu merupakan kemuncak kepada aktiviti memperingati ulang tahun ke-50 hubungan persahabatan dan kerjasama ASEAN-Jepun. Acara peringatan itu bermula dengan simposium di Jakarta, Indonesia, pada Februari dan di Tokyo pada Mac.
Sepanjang tahun ini, pelbagai acara dan projek telah dianjurkan oleh pihak swasta dan kerajaan bagi memperingati ulang tahun ke-50 itu. Ini termasuk Minggu Perniagaan ASEAN-Jepun pada Jun, Mesyuarat Khas Menteri Kehakiman ASEAN-Jepun pada Julai, dan Dialog Khas Menteri Pelancongan ASEAN-Jepun pada Oktober. – Bernama
#Semasa #Jepun #Malaysia #KeselamatanSiber