MANILA, 3 JAN – Tentera Darat Filipina telah mempamerkan dua aset tempur terbaharu mereka pada perbarisan Sambutan Hari Ulangtahun Ke-88 Angkatan Tentera Filipina (AFP) di Kem Aguinaldo, Quezon City yang dihadiri Presiden Ferdinand R. Marcos Jr.
Kereta kebal ringan ASCOD II Sabrah Light Tank, ASCOD II IFV dan sistem artileri mudah gerak ATMOS 155mm melintas megah semasa menyertai kontinjen perbarisan.
Pemilikan aset-aset ini jelas menunjukkan Filipina sedang rancak melaksanakan proses pemodenan kelengkapan pertahanan setelah ketinggalan sekian lama dalam kalangan negara serantau.
Kali pertama kereta kebal Sabrah dipamerkan ialah pada sambutan Hari Ulang Tahun AFP Ke-87 tahun lalu.
Kereta kebal ringan ini menjadi sebahagian daripada kekuatan Divisyen Armor ‘Pambato’ yang penghantarannya diterima secara berperingkat-peringkat bagi membentuk sebuah batalion tank dalam divisyen tersebut.
Sabrah merupakan kereta kebal ringan berteknologi moden paling baik ketika ini dengan berat sekitar 30 tan.
Ia mempunyai kelajuan sehingga 70 kilometer (km) sejam dan dengan jarak pemanduan sehingga 500km.
Sistem suapan peluru pada meriam 15mm adalah secara automatik dengan setiap kereta kebal membawa 36 butir peluru pada satu-satu masa.
Pembelian kereta kebal ringan ini adalah menerusi program modeniasi Horizon 2 bagi melengkapkan AFP dengan aset-aset baharu.
Sabrah dibina oleh firma pertahanan Israel, Elbit Systems Land berkonsepkan modular pada kerangka kenderaan ASCOD bagi versi berunut atau kenderaan armor 8×8 Pandur II untuk versi beroda.
Manakala ASCOD 2 IFV pula yang menggunakan platform sama tetapi dilengkapi dengan sistem tenggekan meriam automatik 25mm Elbit Systems UT25 serta sistem komunikasi buatan firma sama.
Tentera Filipina sebenarnya telah pun menubuhkan batalion tank pada tahun 1958 menggunakan aset-aset bekas kepunyaan Amerika Syarikat.
Bagaimana pun, fungsi kereta kebal dimansuhkan pada tahun 1961 disebabkan faktor kos lalu memberi tumpuan pada pengoperasian kereta perisai yang lebih menjimatkan.
Bagi sistem ATMOS SP pula, Filipina memperoleh 12 unit meriam tersebut pada Disember 2021 juga daripada syarikat pertahanan Israel, Elbit Systems.
Ia dikendalikan oleh Batalion Artileri Medan Ke-10 dengan empat buat sistem ATMOS ditempatkan pada setiap bateri.
Perolehan sistem ATMOS menggandakan keupayaan artileri tentera Filipina dengan kemampuan meriam untuk mengenai sasaran sehingga pada jarak 41 kilometer bergantung kepada jenis peluru yang digunakan.
Sebelum menerima ATMOS, tentera Filipina mengoperasikan beberapa jenis sistem artileri yang berbeza yang sebahagian besarnya adalah buatan Amerika Syarikat yang digunakan sejak tahun 50an.
Bagi meriam kaliber 155mm, Filipina menggunakan meriam M114 buatan AS dan Soltam buatan Israel. – airtimes.my
#AirTimes #TeknologiPertahanan #Filipina