KOTA KINABALU, 5 Ogos – Taktik untuk mengaburi mata pihak berkuasa bagi menyeludup masuk 3 kontena arak tidak bercukai gagal, apabila dapat dihidu oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sabah, Jumaat lalu.
Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Sabah, Julaiman Soimin berkata, pemeriksaan ke atas semua kontena berjaya menemui 9,000 kotak minuman keras pada jam 10.50 pagi.
Jelasnya, turut dirampas tisu yang berada di dalam kontena dipercayai digunakan bagi mengaburi mata pihak berkuasa.
“Kejayaan itu hasil penemuan imej imbasan meragukan yang diperoleh menggunakan mesin pengimbas terhadap ketiga-tiga kontena berkenaan,
“Hasil daripada imbasan mendapati terdapat barangan mencurigakan di dalam kontena, bagaimanapun semakan terhadap dokumen didapati diisytiharkan sebagai barangan lain seperti tisu,” katanya.
Julaiman berkata, kesemua minuman keras yang dirampas dianggarkan bernilai RM1.568 juta termasuk cukai sebanyak RM910,000.
Tegasnya, tiada sebarang tangkapan yang dilakukan semasa pemeriksaan terhadap kesemua kontena.
Dalam pada itu, beliau menjelaskan kesemua barangan yang diseludup masuk adalah dari negara luar bagi pasaran tempatan.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 135 Akta Kastam 1967,” ujarnya. – airtimes.my