KUALA LUMPUR, 14 Mac – Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) serta Pingat Perkhidmatan dan Pekerti Terbilang (PPT) adalah salah satu kaedah insetif Kementerian Pertahanan (MINDEF) sebagai menghargai sumbangan dan penghargaan kepada warganya.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Muhamad Hasan berkata, penganugerahan dan pengiktirafan ini diberikan sebagai tanda penghargaan kepada setiap warga kerja pertahanan di mana mereka bukan hanya bertindak sebagai petugas barisan hadapan negara.
Malah menurutnya, warga kementerian juga memainkan peranan sebagai unsur teras dalam tonggak kedua strategi pertahanan negara iaitu Pertahanan Komprehensif seperti yang digariskan dalam Kertas Putih Pertahanan (KPP).
Sehubungan itu, beliau menyeru menyeru agar warga kerja pertahanan untuk terus kekal cemerlang dengan sikap yang tulus, positif dan ikhlas disamping menjadi contoh kepada rakan-rakan sekerja untuk lebih berusaha pada masa akan datang.
“Kepada pesara, kita bersara daripada jawatan tetapi jangan bersara dalam menabur jasa dan bakti kepada bangsa dan negara,” katanya semasa merasmikan Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan Jasamu Dikenang Kementerian Pertahanan Tahun 2023 Tahun 2023 di salah sebuah hotel di Kuala Lumpur, hari ini.
Bagi menghargai sumbangan dan penghargaan kepada warganya, Kementerian Pertahanan dan ATM telah menganugerahkan APC dan Pingat PPT Tahun 2022 kepada 874 warga awam, 9,198 warga ATM dari ketiga-tiga cabang perkhidmatan dan 133 orang pesara menjadikan jumlah keseluruhan adalah seramai 10,205 orang.
Pada majlis ini, Menteri Pertahanan telah menyempurnakan penyampaian anugerah dan pingat kepada 391 orang penerima APC dan Pingat PPT yang terdiri daripada penjawat awam di Wisma Pertahanan dan unit-unit Tentera, warga ATM serta Pesara Awam terpilih.
Bagi baki selebihnya, majlis penganugerahan akan diselaraskan oleh Negeri atau Markas masing-masing.
Penerima APC akan diberikan Sijil Perkhidmatan Cemerlang dan hadiah prestasi wang tunai yang bernilai RM 1,000.00 manakala bagi pesara awam yang bersara wajib akan menerima Pingat PPT, Sijil Penghargaan serta hadiah wang tunai berjumlah RM600.00.
Manakala, awam yang bersara pilihan akan menerima Sijil Penghargaan dan hadiah wang tunai bernilai RM600.00. -airtimes.my