Kuala Lumpur, 29 Mac – Perbahasan Rang Undang-Undang Antiberita Tidak Benar 2018 akan bersambung pada Isnin hadapan. Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Sri Azalina Othman Said telah mengeluarkan usul penangguhan perbahasan undang-undang tersebut pada akhir sesi Dewan Rakyat.
Dalam kenyataan media, beliau menyatakan bahawa Perdana Menteri, Datuk Sri Najib Tun Abdul Razak dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Zahid Hamidi telah bersetuju untuk cadangan pindaan di peringkat jawatankuasa dibuat kepada Fasal 4 dan 5 di dalam Rang Undang-Undang Antiberita Tidak Benar 2018.
Menurut Azalina, pindaan yang dibuat ini bukti bahawa Kerajaan hari ini begitu terbuka dan telus dalam mendengar dan mengambil pandangan daripada semua pihak.
Dalam kenyataan media tersebut yang dibuat melalui akaun media sosial rasmi Azalina, pindaan tersebut dicadangkan setelah mengambil kira pandangan dan cadangan daripada beberapa pihak termasuk Ahli-Ahli Parlimen. Perkataaan “knowingly” di dalam Fasal 4 bahagaian ini dicadang untuk digantikan dengan perkataan “maliciously”.
Selain daripada itu, hukuman diperuntukkan selama 10 tahun akan dikurangkan kepada 6 tahun.
Beliau turut menegaskan bahawa Rang Undang-Undang Antiberita Tidak Benar 2018 yang dibentangkan undang-undang yang menyekat kebebasan bersuara rakyat sebaliknya bertindak untuk menyekat kebebasan penularan berita tidak benar. Tambah beliau, undang-undang ini adalah bersifat pencegahan (deterrence) dengan mesej yang jelas bahawa setiap individu hendaklah bertanggungjawab terhadap perkongsian maklumat yang benar dan sihat.