KUALA LUMPUR, 11 Mei – Kedudukan Malaysia dalam Indeks Keganasan Global (GTI) menunjukkan prestasi yang semakin baik dalam menangani keganasan apabila melonjak daripada tangga ke-68 kepada kedudukan ke-75 pada tahun 2022.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, secara keseluruhan, trend aktiviti keganasan di Malaysia dilihat menurun iaitu daripada 7 kes tangkapan pada tahun 2020 kepada 2 kes tangkapan pada tahun 2022.
Jelasnya, tangkapan individu melibatkan aktiviti keganasan di Malaysia mencatatkan penurunan terutamanya selepas pasca COVID-19.
“Setakat bulan Mac 2023, Malaysia telah meratifikasi sebanyak 10 instrumen keganasan daripada keseluruhan 19 instrumen dalam usaha menyokong langkah-langkah menangani keganasan di peringkat antarabangsa,
“Malaysia masih meneliti lanjut untuk menjadi Negara Pihak kepada 9 instrumen antarabangsa berkaitan keganasan yang lain,” jelasnya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Sementara itu, Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah dilaporkan berkata, pada 2016, sebanyak 126 mereka yang disyaki pengganas telah ditangkap dan menurun kepada 107 pada 2017.
“Ini kerana pencegahan dan penguatkuasaan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta langkah yang dilakukan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN),
“Ia menurun lagi apabila pandemik (2020) dan pada tahun lalu hanya 2 kes tangkapan (berkait dengan aktiviti keganasan pada tahun 2022),” katanya seperti dipetik Astro Awani.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Peringkat Tinggi Kawalan Keganasan (JPTKK) Bilangan 1 2023.
Tambahnya, langkah pencegahan perlu dilakukan khususnya untuk mengelakkan perbezaan fahaman politik, ketaksuban perkauman serta sikap perkauman yang menebal.
“Pihak berkuasa turut melakukan pemantauan terhadap fahaman pelampau keganasan yang lebih berbentuk kepada perbezaan politik,” ujarnya lagi.
Menurut Zahid, Arahan MKN No. 18: Pengurusan dan Pengendalian Krisis Keganasan sebagai dokumen dasar bagi mekanisme pengurusan krisis keganasan telah diperkemaskan.
“Ia bagi tujuan meningkatkan pengurusan dan pengendalian krisis keganasan khususnya melibatkan tindakan penyelarasan dan kesiapsiagaan agensi-agensi keselamatan dalam menghadapi ancaman keganasan yang bersifat kompleks dan dinamik secara bersepadu,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, Pelan Tindakan Kebangsaan Bagi Mencegah dan Menangani Fahaman Pelampau Keganasan (NAPPCVE) akan dimuktamadkan dalam tempoh terdekat.
“Ia adalah sebagai dokumen pelan tindakan yang komprehensif dalam konteks mencegah fahaman pelampau keganasan dengan penglibatan agensiagensi kerajaan dan komuniti,
“Kerajaan juga tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana warganegara atau bukan warganegara yang berniat mengancam keselamatan negara dan menentang sekeras-kerasnya sebarang tindakan keganasan dalam apa jua bentuk sekalipun,” tambahnya lagi. -airtimes.my