PUTRAJAYA, 19 Mac – Kerajaan telah memutuskan untuk menubuhkan jawatankuasa khas yang dianggotai 19 kementerian berhubung pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan dalam membendung penularan wabak COVID-19, kata Menteri Pertahanan, Datuk Sri Ismail Sabri Yaakob.
Ismail berkata, jawatankuasa tersebut terdiri daripada Ketua Setiausaha Negara, Ketua Polis Negara, Panglima Angkatan Tentera, kementerian Kesihatan, Majlis Keselamatan Negara dan Ketua Setiausaha kementerian-kementeian yang berkaitan dengan COVID-19.
“Tujuan penubuhan jawatankuasa ini adalah untuk menyelaraskan peranan dan tindakan setiap kementerian yang mempunyai kaitan dalam menangani wabak ini,
“Kami telah mengadakan mesyuarat sejak semalam dan hari ini, serta mesyuarat akan berterusan sehingga ke 31 Mac (hari terakhir Perintah Kawalan Pergerakan) yang telah diumumkan oleh kerajaan,” kata Menteri Pertahanan di sidang media khas, hari ini.