KUALA TERENGGANU, 31 Dis – Tiga beradik perempuan berusia antara enam hingga 10 tahun dikhuatiri lemas selepas mereka ditarik ombak besar di Pantai Teluk Gadung berhadapan Sekolah Menengah Kebangsaan Sura di sini, kira-kira 6.40 petang pada Ahad.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Dungun, Penolong Penguasa Bomba Saifuddin Muhammad berkata tiga kanak-kanak berkenaan, Nurain Sasabila Zawawi, 5, Nurain Sufia, 8, dan Nurain Fatma, 10, berasal dari Rantau Panjang, Kelantan datang bercuti ke pantai bersama anggota keluarga mereka.
Difahamkan ibu bapa mangsa tidak mengikuti percutian tersebut dan berada di kampung ketika kejadian.
“Maklumat awal mengatakan Nurain Sasabila dan kakaknya, Nurain Sufia dikatakan pergi ke pantai untuk mengambil angin dengan mak saudara mereka.
“Difahamkan ombak terlalu besar dan menarik mangsa ke arah laut. Kakak sulung mereka, Nurain Fatma cuba untuk menyelamatkan adik-adiknya tetapi turut ditarik ombak dan ketiga-ketiga mangsa terus dihanyutkan ombak ke tengah (laut),” katanya sepertimana dilaporkan Bernama.
Saifuddin berkata pihaknya bergegas ke tempat kejadian sebaik menerima panggilan pada kira-kira 7.09 malam tadi bersama 11 anggota bagi menyertai operasi mencari dan menyelamat bersama agensi keselamatan lain termasuk Polis Diraja Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dan orang awam.
“Buat masa ini, pihak kami hanya menjalankan operasi mencari dan menyelamat di kawasan pesisir pantai berikutan cuaca yang gelap dan ombak besar.
“Operasi akan bersambung lagi esok (31 Dis) dengan menggunakan khidmat anjing pengesan K9 dan unit selam skuba bagi mencari ketiga-tiga mangsa,” katanya.