KUALA LUMPUR, 5 Mac – Di sebalik keadaan ekonomi negara yang merosot akibat wabak COVID-19 dan kejatuhan nilai ringgit, namun nama Tan Sri Robert Kuok masih kekal sebagai orang terkaya di Malaysia berdasarkan senarai yang dikeluarkan oleh Forbes Asia 2020 hari ini.
Pihak Forbes dalam satu kenyataan berkata, nilai kekayaan 50 hartawan di negara ini merosot selama dua tahun berturut-turut akibat keadaan ekonomi negara yang tidak memberangsangkan.
Robert Kuok mempunyai aset berjumlah US$11.5 bilion adalah antara 4 tersenarai yang mengalami nilai asetnya menyusut sebanyak US$1 bilion berbanding tahun sebelumnya.
Ketua Pengarah Eksekutif Hong Leong Group, Tan Sri Quek Leng Chan berada di tangga kedua dengan kekayaan sebanyak US$9.7 bilion setelah menambah asetnya sebanyak US$300 juta.
Manakala, Pengerusi Maxis, Tan Sri Ananda Krishnan menduduki tempat ketiga dengan nilai bersih aset US$5.9 bilion, namun susut sebanyak US$300 juta berbanding tahun sebelumnya.
Tan Sri Dr Teh Hong Piow yang menduduki tangga ketiga pada tahun lalu, bagaimanapun jatuh dua anak tangga di kedudukan ke-5 pada tahun ini dengan aset sebanyak US$4.85 bilion.
Hartwan kasino NagaWorld di Kemboja, Tan Sri Chen Lip Keong berada di tangga ke-4, manakala Kuan Kam Hon, pengeluar sarung tangan getah nitril terbesar dunia memegang aset US$2.8 bilion merupakan orang yang ke-9 terkaya di Malaysia.
Berikut merupakan senarai 10 orang yang terkaya di Malaysia berdasarkan senarai yang dikeluarkan oleh Forbes:
1) Robert Kuok; US$11.5 billion
2) Quek Leng Chan; US$9.7 billion
3) Ananda Krishnan; US$5.9 billion
4) Chen Lip Keong; US$5.3 billion
5) Teh Hong Piow; US$4.85 billion
6) Lee Yeow Chor & Yeow Seng; US$4.8 billion
7) Lim Kok Thay; US$3.2 billion
8) Koon Poh Keong, Poh Ming & Poh Weng; US$3 billion
9) Kuan Kam Hon; US$2.8 billion
10) Lau Cho Kun; US$2.3 billion