PORT DICKSON, 24 Nov – Lapan pendatang asing tanpa izin (PATI) yang cuba menyeludup masuk melalui jalan tidak diwartakan di Port Dickson telah ditahan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) awal pagi Jumaat.
Pengarah Maritim Melaka dan Negeri Sembilan Kapten Maritim Amran Daud berkata, turut ditahan ialah empat tekong darat dan kesemua mereka di tahan pada jam 4.30 pagi dalam operasi khas yang dijalankan pihaknya.
Daripada empat tekong yang ditahan, seorang adalah warga Indonesia dan baki warga tempatan manakala kesemua lapan Pati adalah warga Indonesia.
“Kesemua mereka yang berumur lingkungan 19 hingga 58 tahun ditahan Bahagian Siasatan Jenayah Maritim di pesisir pantai Negeri Sembilan yang mengenalpasti lorong tikus yang digunakan sindiket penyeludupan.
“Tangkapan itu adalah hasil maklumat yang kami terima mengenai terdapat sebuah bot dari perairan Indonesia ke Port Dickson dalam keadaan mencurigakan,” katanya dalam kenyataan di sini, pada Jumaat.
Amran berkata kesemua yang ditahan akan disiasat mengikut Akta Imigresen dan Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM)
“Sehingga hari ini, Maritim Melaka dan Negeri Sembilan telah berjaya membuat tangkapan sebanyak 12 kes di bawah ATIPSOM.