SEREMBAN, 11 Dis – Menteri Besar Negeri Sembilan, Aminuddin Harun berkata kerajaan Negeri Sembilan sedia bekerjasama dengan Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) negeri untuk kutipan Tabung Rayuan Hari Pahlawan 2019 yang akan dilancarkan awal tahun depan.
Aminuddin berkata, kempen Rayuan Hari Pahlawan ini akan disusun atur dengan lebih kemas lagi untuk mendapatkan sumbangan pihak korporat, organisasi dan individu di negeri ini.
“Malah, kerajaan negeri sendiri juga akan menampung sebahagian program tersebut. Hasil sumbangan ini adalah untuk memberi bantuan kebajikan kepada veteran.
“Saya juga berharap orang ramai supaya turut menghulurkan derma mereka bagi tujuan tersebut. Saya menyeru semua pihak supaya jangan lupa segala jasa dan pengorbanan besar para perajurit dan bakti mereka perlu dihargai serta dikenang, ” katanya kepada pemberita selepas Majlis Sepetang Bersama Pemimpin anjuran Persatuan Veteran ATM Negeri Sembilan, di sini, hari ini.
Turut hadir ialah Panglima Markas 1 Briged Infantri, Brig Jen Loh Kooi Leong dan Yang Dipertua Persatuan Veteran ATM Negeri Sembilan, Datuk Sazali Ismail.
Aminuddin berkata, hubungan baik antara kerajaan negeri dan Persatuan Veteran ATM merupakan satu aset yang besar yang mana ia dapat membantu dalam menyampaikan hasrat kerajaan negeri dalam memajukan negeri ini.
Pada majlis itu, beliau menyerahkan cek replika RM100,000 kepada Persatuan Veteran ATM Negeri Sembilan untuk persatuan ini menjalankan aktiviti mereka.
Sementara itu, Sazali berkata, sebanyak 21 cawangan Persatuan Veteran ATM di negeri ini akan menerima RM2,000 setiap cawangan.
Katanya setakat ini persatuannya mempunyai 14,800 orang anggota di negeri ini.
Katanya masih ramai lagi bekas tentera yang belum mendaftar sebagai anggota persatuan dan beliau berharap mereka akan mendaftar untuk kebaikan mereka sendiri.