WASHINGTON, 12 JAN – Pusat radar pemantauan pesisir dan udara merupakan antara yang menjadi sasaran dalam serangan terhadap Houthi di Yaman.
Perkara tersebut dinyatakan oleh Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat, Lloyd J. Austin III dalam satu kenyataan yang mengulas serangan yang dilancarkan pada hari ini.
Menurut beliau, serangan turut dilancarkan terhadap fasiliti pesawat tanpa pemandu (UAS), misil balistik dan peluru berpandu kruis.
Terdahulu, Amerika Syarikat dan United Kingdom (UK) telah melancarkan serangan terhadap Yaman berikutan tindakan Houthi yang telah mengancam keselamatan pelayaran perdagangan di Laut Merah.
Komander US Central Command (U.S CENTCOM), Jeneral Michael Erik Kurilla menyatakan Houthi dan Iran bertanggungjawab dalam serangan yang menjejaskan kestabilan laluan perkapalan antarabangsa.
“Mereka (Houthi dan Iran) bertanggungjawab di atas serangan melulu terhadap perkapalan antarabangsa yang telah memberikan kesan kepada 55 buah negara,
“Tindakan mereka turut membahayakan nyawa ratusan pelaut termasuk warga Amerika Syarikat,” katanya dalam satu hantaran di akaun media sosial rasmi U.S CENTCOM.
Dalam pada itu, pihak U.S Centcom turut berkongsikan video yang memaparkan pesawat Northrop Grumman E-2 Hawkeye yang berlepas dari kapal induk. Video berdurasi 30 saat itu turut menunjukkan beberapa buah jet pejuang F/A-18.
Amerika Syarikat sebelum ini telah menghantar kapal induk USS DWIGHT D. EISENHOWER ke kawasan Laut Merah bagi melaksanakan Operation Prosperity Guardian. Kapal induk berkuasa nuklear itu turut diiringi oleh USS GRAVELY, USS LABOON dan USS MASON.
Kapal-kapal ini kemudiannya bergabung dengan kapal pembinasa HMS DIAMOND dari United Kingdom.
Pada 9 Januari lalu, kumpulan Houthi telah melancarkan serangan skala besar terhadap kedudukan kapal tentera laut Amerika Syarikat dan United Kingdom. Serangan tersebut menyaksikan 18 dron, 2 peluru berpandu anti kapal dan 1 misil balistik.
Serangan tersebut telah berjaya dipatahkan oleh sistem pertahanan peluru berpandu oleh kapal Amerika Syarikat dan UK. Kapal induk USS Dwight D. Eisenhower telah menghantar jet pejuang F/A-18 bagi memintas serangan yang dilancarkan oleh Houthi.
Dalam pada itu, Kementerian Pertahanan UK menyatakan serangan terhadap Yaman telah melibatkan jet pejuang Typhoon FGR4.
Menurutnya, operasi serangan ini turut melibatkan sebuah pesawat pengisian minyak di udara, Voyager.
“Bom panduan Paveway IV telah digunakan untuk melancarkan serangan tepat terhadap 2 fasiliti Houthi,” katanya dalam satu kenyataan.
Pihak UK menjelaskan, bom tersebut telah digunakan terhadap bangunan dan tapak pelancaran dron di Bani. Selain itu, serangan turut disasarkan terhadap landasan udara di Abbs.
“Maklumat perisikan mendapati landasan udara ini telah digunakan sebagai tapak melancarkan peluru berpandu kruis dan dron terhadap kapal di Laut Merah,” katanya.
Perdana Menteri UK, Rishi Sunak menegaskan tindakan puak Houthi di Laut Merah telah menjejaskan laluan perdagangan penting di Laut Merah.
“Mereka telah mengancam laluan pelayaran komersial, ia membahayakan kapal-kapal antarabangsa termasuk UK,
“Selain itu, situasi ini telah menyebabkan harga komoditi meningkat naik,” kata Sunak dalam satu kenyataan.
Menurutnya, tindakan terburu-buru oleh Houthi telah mengancam nyawa di laut dan memburukkan lagi krisis kemanusiaan di Yaman.
Dalam pada itu, Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden menyatakan serangan di Laut Merah oleh Houthi telah menyebabkan lebih daripada 2,000 kapal dagang telah mengubah laluan pelayaran mereka.
Jelasnya, serangan dari Yaman telah menjejaskan perdagangan antarabangsa.
“Kapal-kapal dagang ini telah mengambil laluan pelayaran yang jauh untuk mengelakkan laluan pelayaran di Laut Merah,
“Ini telah menyebabkan kelewatan penghantaran barangan,” katanya dalam satu kenyataan.
Biden turut mengesahkan serangan Houthi pada 9 Januari lalu adalah terbesar dan disasarkan terhadap kedudukan kapal tentera laut Amerika Syarikat. – airtimes.my
#AirTimes #Malaysia #Yaman #Global #TimurTengah