KUCHING, 15 Okt – Seorang bekas tentera maut setelah motosikal ditunggangi terlibat dalam kemalangan di Kilometer 13, Jalan Bau-Kuching berhampiran Tanjung Durian, dekat sini hari ini.
Dalam insiden sekitar jam 9.15 pagi itu, mangsa dikenali sebagai Zaidi Rosli, 55 disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Menurut Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak Superintenden Alexson Naga Chabu, kemalangan dipercayai berlaku apabila mangsa yang menunggang motosikal sedang dalam perjalanan menuju ke Kuching dari arah Bau cuba memotong lori.
“Mangsa tidak sempat memotong kerana ada sebuah kenderaan yang datang dari arah bertentangan.
“Dia cuba masuk balik ke laluannya namun melanggar tayar belakang sebelah kanan lori tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Difahamkan, pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan.
Mayat mangsa dibawa ke Hospital Bau dan kes itu kini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.