NAIROBI, 17 Jan – Angka kematian akibat serangan militan di sebuah kompleks hotel di sini, meningkat kepada 21 orang, ketika anggota polis meneruskan usaha mengesan mangsa yang terperangkap di bawah runtuhan.
Terdahulu, Presiden Uhuru Kenyatta, mengumumkan operasi pihak polis di kompleks DusitD2 yang berlangsung selama 20 jam, sudah ditamatkan, yang menyaksikan ratusan penduduk berjaya diselamatkan, manakala lima anggota militan sudah dihapuskan.
Menurut kumpulan pemantau SITE, serangan itu didakwa dilakukan oleh militan Al Shabaab yang mempunyai kaitan dengan Al Qaeda, sebagai tindak balas terhadap keputusan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump mengisytiharkan Baltulmaqdis sebagai ibu negara Israel.
Ketua Polis, Joseph Boinnet, berkata, jumlah kematian meningkat kepada 21 orang, iaitu 16 warga Kenya, masing-masing seorang warga Amerika Syarikat dan Britain, manakala tiga lagi mangsa adalah keturunan Afrika.
“Enam mayat ditemui di lokasi kejadian, sementara seorang anggota polis meninggal dunia akibat kecederaan yang dialaminya.
“Seramai 28 lagi mangsa yang cedera sudah dimasukkan ke hospital,” katanya kepada wartawan.