KUALA LUMPUR, 29 Jul – Ahli Parlimen DAP bertindak biadap kerana tidak menghormati saat bertafakur dan membaca Al Fatihah yang diminta Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam Dewan Rakyat untuk mangsa yang meninggal dunia akibat pandemik COVID-19.
Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hassan dalam hantaran di media sosialnya menggesa DAP meminta maaf secara terbuka kepada Perdana Menteri dan seluruh umat Islam serta rakyat Malaysia atas tindakan tidak sopan itu.
“Umat Islam dan rakyat Malaysia sangat tersinggung dengan tindakan biadap beberapa Ahli Parlimen DAP yang tidak menghormati saat bertafakur yang dianjurkan oleh Perdana Menteri semasa persidangan Parlimen dua hari lepas (Isnin),
“Ketika Perdana Menteri membaca surah Al Fatihah dan menyatakan rasa dukanya terhadap kehilangan begitu banyak nyawa akibat pandemik ini, pemimpin DAP dan rakan-rakannya terus berteriakan serta menggangu Perdana Menteri,
“Tiada sedikitpun rasa hormat dan sopan kepada seruan bertafakur serta berdoa. Apalagi terhadap seorang Perdana Menteri,” katanya.
Mohamad berkata, tindakan Ahli Parlimen DAP itu sangat biadap, tercela dan jelek. Sikap mereka bercanggah dengan nilai kita sebagai bangsa yang teguh dengan nilai dan moral.
“DAP harus meminta maaf secara terbuka kepada Perdana Menteri dan seluruh umat Islam serta rakyat Malaysia atas tindakan tidak sopan mereka itu,
“Parlimen Malaysia tidak boleh menjadi tempat agama dan nilai terbaik bangsa menjadi sendaan dan perbuatan biadap,” ujarnya. – airtimes.my