PASIR PUTIH, 13 Ogos – Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Kelantan telah menahan sebuah bot nelayan tempatan bersama 17 kru termasuk tekong warga Vietnam pada kedudukan 48 batu nautika dari muara Tok Bali, semalam.
Pengarah Maritim Negeri Kelantan, Kepten Maritim Syed Nor Adli Syed Ab. Rahman berkata, bot tersebut dikesan bergerak dalam keadaan mencurigakan sekitar oleh anggota yang sedang melaksanakan Operasi Naga Barat dan Operasi Damai pada lebih kurang jam 10.29 pagi.
“Bot tersebut diarahkan berhenti untuk pemeriksaan dan mendapati, 17 kru termasuk tekong merupakan warga Vietnam yang berumur antara 20 hingga 55 tahun itu tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah,
“Tekong juga gagal mempamerkan sebarang dokumen kebenaran menangkap ikan yang sah diperairan negara,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Syed Nor Adli berkata, bot dan kesemua kru termasuk tekong ditahan serta dibawa ke Jeti Maritim Negeri Kelantan untuk disiasat di bawah Seksyen 8 (a) Akta Perikanan 1985 kerana bot beroperasi tanpa lesen yang sah.
“Mereka juga boleh dikenakan denda tidak melebihi RM20 ribu atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya kerana menjalankan aktiviti perikanan di kawasan yang tidak diwartakan,
“Bagi kesalahan tersebut, mahkamah juga boleh melucut hak bot, hasil tangkapan dan peralatan menangkap ikan kepada kerajaan Malaysia,” tambahnya.
Menurutnya, semakkan awal status bot melalui data Jabatan Perikanan mendapati lesen bot tersebut telah tamat tempoh sejak tahun 2019 dan berstatus tidak aktif.
Nilai rampasan termasuk bot, ikan lebih kurang 300 kilogram, sotong kering lebih kurang 200 kilogram, bekalan diesel lebih kurang 4000 liter dan peralatan menangkap ikan dianggarkan berjumlah RM 1 juta.-airtimes.my