KUALA LUMPUR, 1 Mac – Sekretariat Veteran Bertindak (SVB) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah menyerahkan satu memorandum yang menggariskan 7 perkara di mana ianya perlu dibahaskan dan diluluskan oleh kerajaan atau pihak pembangkang di Parlimen.
Penasihat SVB, Abdul Rani Kulup Abdullah berkata, pihaknya sebulat suara bersetuju menghantar memorandum ke Parlimen di mana isu permasalahan veteran perlu dibincangkan oleh 222 Ahli Parlimen yang telah berpuluh tahun tidak diambil tindakan kerajaan seterusnya perkenan Yang di-Pertuan Agong.
“Seramai 500 orang terdiri dari perwakilan NGO Veteran dan individu membincangkan serta menyampaikan kertas kerja oleh pelbagai peringkat veteran pegawai atau anggota lain-lain pangkat (LLP),
“Cadangan yang telah diputuskan sebulat suara oleh wakil veteran samasa simposium kesimpulan,” katanya ketika ditemui pemberita di perkarangan Parlimen, hari ini.
Jelas SVB 7 perkara yang digariskan adalah, menggesa kerajaan agar bertindak segera untuk mengkaji dan membubarkan Akta Veteran 2012 yang tidak lagi efektif apabila berperanan menjadi mata serta telinga orang politik tanpa mengira kebajikan veteran.
“Menyekat kebebasan bersuara sehingga memecahkan kepada 148 persatuan veteran yang tidak mampu bersatu dalam satu isu terutama melibatkan kepentingan veteran,” jelasnya.
Tegasnya, Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) perlu dikaji oleh Majlis Angkatan Tentera (MAT) agar kembali menjaga hal ehwal veteran dan anggota ATM.
“Cadangan pindaan ke atas Akta Tabung Angkatan Tentera akan memacu transformasi dan memperkukuh tadbir urus LTAT,
“Menambah baik supaya memberi manfaat kepada pencarum yang membenarkan pengeluaran sebahagian simpanan mereka yang bersara dengan baki yang masih tersimpan layak menerima dividen,” tegasnya.
SVB juga mengharapkan campur tangan Yang di-Pertuan Agong mengenai isu kanun tanah negara supaya diagihkan secara adil kepada orang Melayu khasnya veteran mengikut perlembagaan melalui Kementerian Pertahanan dan Kerajaan Negeri.
“Menganugerahkan tanah kepada bekas-bekas tentera sebagaimana termaktub dalam PMAT 1/1973,
“Kerajaan perlu menggubal Akta 740 Veteran dengan menawarkan keistimewaan perolehan satu lot tanah perumahan dan 10 ekar tanah pertanian di seluruh Malaysia kepada veteran atau balu-balu ATM,” tambahnya.
SVB turut menggesa MAT agar menyiasat dan mengkaji segala kemungkinan pelarasan pencen bagi menyelaraskan pencen terkini bagi mengelakkan veteran tergolong dalam kategori B40.
“Jurang perbezaan kadar pencen veteran baru dan lama dalam pangkat yang sama amatlah ketara,
“Ia melebar sehingga tidak dapat menampung keperluan sara hidup yang sangat tinggi,” katanya.
Penerima Pingat Jasa Malaysia (PJM) yang telah berjuang semasa penentangan Pengganas Komunis disarankan untuk diberikan elaun di antara RM1,500 hingga RM3,500 sebulan kerana jumlah penerimanya tidak ramai dan akan berkurangan mengikut peredaran masa.
SVB juga mencadangkan agar menyiasat dan mengkaji segala kekhilafan yang berlaku di Yayasan Veteran ATM termasuk dasar kebajikan ahli LTAT, termasuk mengembalikan semula wang ahli sebanyak 15 peratus (kerajaan) termasuk bonus dan faedahnya.
“Mencadangkan membubarkan pengurusan lama dan digantikan dengan pengurusan baru yang lebih profesional,
“Melaksanakan tanggungjawab kebajikan dan mengutamakan veteran dari kepentingan peribadi,” katanya.
Tambahnya, imbuhan bulanan sebanyak RM1,200 sebulan perlu diberikan kepada veteran pegawai atau anggota tidak berpencen di bawah paras kemiskinan agar kebajikan mereka terbela terutama semasa hari tua.
Antara Ahli Parlimen yang hadir menerima memorandum ini ialah Ahli Parlimen Ahli Parlimen Hulu Langat, Datuk Hasanuddin Mohd Yunus, Ahli Parlimen Tampin, Datuk Hasan Bahrom, Ahli Parlimen Taiping, Kok Lik The dan Ahli Parlimen Klang, Chasles Santiago.
Turut hadir dalam penyerahan tersebut ialah Presiden Pertubuhan Gerakan Memartabatkan Pejuang Negara (GMPN), Mejar Razali Zakaria (Bersara) dan Pengerusi Pertubuhan Gerakan Martabat Pejuang Negara Malaysia (GMPN), Pegawai Waren 1 latib Abdullah (Bersara).
Terdahulu, SVB berjaya melaksanakan Simposium Permasalahan Veteran yang dirasmikan oleh Ahli Parlimen Hulu Langat, Datuk Hasanuddin Mohd Yunus pada 23 Februari yang lalu. – airtimes.my