KEDAH, 9 Mac – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Kedah berjaya merampas pelbagai barangan farmasi dan kosmetik yang tidak berdaftar di sekitar daerah Kulim, pada Isnin.
Pengarah Kesihatan Negeri Kedah, Dr Othman Warijo berkata, sebanyak 3 premis termasuk 2 stor haram telah diserbu oleh anggota Penguatkuasa Farmasi dari Cawangan Penguatkuasaan Farmasi (CPF) daerah Kulim.
“Pihak kami telah berjaya merampas sebanyak 10,122 botol pelbagai jenis produk farmaseutikal yang tidak berdaftar dan 882 kotak produk kosmetik yang tidak bernotifikasi dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD),
“Turut dirampas sebanyak 4,779 botol produk yang dicemari racun berjadual dan satu peranti digital,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Othman berkata, nilai barangan yang dirampas berjumlah RM324,200.
“Siasatan awal mendapati produk tidak berdaftar tersebut dijual secara berleluasa dalam talian di platform e-dagang Malaysia,
“Siasatan akan dijalankan dibwah Akta Racun 1952 dan Akta Juala Dadah 1952 serta boleh dikenakan denda tidak melebihi RM5,000 dan penjara 2 tahun atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan,” ujarnya. – airtimes.my