KUCHING, 23 Feb – Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Sarawak telah menahan 7 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) termasuk seorang wanita warga Indonesia di sekitar Pekan, Sematan, semalam.
Pihak PGA Sarawak berkata, kesemua mereka ditahan ketika ingin melalui lorong tikus di sempadan Malaysia-Indonesia dan gagal menunjukkan dokumen perjalanan diri yang sah.
“Sepasukan polis kekuatan 2 pegawai bersama 8 anggota telah membuat rondaan dan tinjauan di sekitar Pekan, Sematan. Semasa membuat rondaan telah menjumpai 6 orang lelaki dan 1 orang perempuan dipercayai warganegara Indonesia,
“Kesemua ditahan di bawah kesalahan Seksyen 6(1)Akta Imigresen 1959(Akta 155) dan Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342),” katanya dalam hantaran di laman sosial PGA pada Isnin.
Menurutnya, kemudian, anggota PGA telah mengiiringi kesemua individu tersebut untuk kembali ke negara asal melalui sempadan Malaysia dan Indonesia di PKS Telok Melano, Sematan, Sarawak.