KUALA LUMPUR, 30 Ogos – Tiada yang lebih mengembirakan apabila dapat meraikan ulang tahun kelahiran ke-34 hari ini dengan mencatat rekod peribadi lompatan merentasi 66 buah motosikal jenis Royal Enfield sempena sambutan Hari Kebangsaan 2023 pagi tadi.
Anggota Tim Akrobatik Army Red Warrior (ARW) Tentera Darat Malaysia (TDM), Staf Sarjan Saidatul Husna Kamaruddin turut berpuas hati dan berbangga apabila berjaya menyempurnakan lompatan tersebut di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Riíayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong turut kelihatan teruja melihat aksi yang mendebarkan itu.
Malah, aksi berani Staf Sarjan Saidatul Husna Kamaruddin itu mendapat tepukan gemuruh daripada ribuan penggunjung yang hadir di Dataran Putrajaya.
“Aura lompatan hari ini cukup hebat dan lain dari lompatan-lompatan saya sebelum ini. Buat lompatan merentasi 66 motosikal Royal Enfield di hadapan Yang diPertuan Agong dan Permaisuri Agong serta disaksikan lautan manusia di kiri dan kanan landasan cukup mendebarkan,
“Seperti kebiasaan sebelum buat lompatan, saya kosongkan fikiran dan banyakkan berdoa berharap semuanya dilancarkan. Keluarga yang hadir menyaksikan saya di sini turut menyumbang selesaikan amanah yang besar ini,” katanya seperti dipetik Bernama.
Selain persembahan dari Tim Akrobatik Army Red Warrior (ARW) Tentera Darat Malaysia (TDM) itu, pengunjung turut disajikan dengan aksi yang luar biasa oleh 6 anggota penerjun dari VAT69 Komando Polis Diraja Malaysia (PDRM); persembahan 400 pergendangan; 36 kumpulan pancaragam termsuk persembahan khas Hari Kebangsaan 2023 bertajuk ‘Tekad Perpaduan Penuhi Harapan’ oleh 1,500 orang peserta.
Sementara itu, Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil dilaporkan berkata, lebih 100,000 pengunjung hadir menyaksikan sambutan Hari Kebangsaan 2023 yang buat pertama kalinya dianjurkan oleh Kerajaan Perpaduan.
Beliau berkata, segelintir orang awam juga telah mula berkumpul selepas waktu Maghrib semalam kerana teruja untuk melihat sendiri acara gilang-gemilang itu.
Bertemakan Malaysia MADANI: Tekad Perpaduan Penuhi Harapan, sambutan kali ini melibatkan 17,262 peserta, 67 kontinjen, 36 kumpulan pancaragam, 534 aset darat dan aset udara serta 100 ekor haiwan dalam perkhidmatan.
Perbarisan dan perarakan sambutan Hari Kebangsaan tahun ini dibahagikan kepada 9 komponen iaitu kenegaraan; perpaduan Malaysia MADANI; ekonomi; perbankan; telekomunikasi; industri kreatif dan penyiaran; sukan negara; kesejahteraan serta keselamatan negara.
Acara tahunan ini diserikan dengan keberangkatan Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong, Perdana Menteri dan isteri, Timbalan-timbalan Perdana Menteri dan isteri serta ahli-ahli Jemaah Menteri. -airtimes.my