KUALA LUMPUR, 1 Mac – Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menahan empat individu yang mana tiga daripadanya dikesan menghina Yang di-Pertuan Agong di sosial media mereka.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Huzir Mohamed dalam satu kenyataannya berkata seorang lelaki Cina dengan menggunakan akaun Facebook ‘Aaron Yee Yang’ telah memuat naik status mengeluarkan kata-kata kesat kepada Yang di-Pertuan Agong.
“Tangkapan ke atas suspek lelaki berumur 35 tahun telah dilakukan pada 1 Mac 2020 dan rampasan turut dibuat,
“Reman ke atas suspek mengikut Seksyen 117 kanun prosedur jenayah akan dipohon dan siasatan lanjut masih diteruskan,” jelas Huzir.
Selain itu, turut di disiasat pemilik akaun Facebook Gavin Lee dan Facebook Haizad Azhar yang dipercayai telah memuat naik satu hantaran berunsur penghinaan terhadap Yang di-Pertuan Agong.
Pada masa yang sama, Huzir berkata pemilik akaun Twitter Fadiah Nadwa Fikri atau Fadiahnadwa dikesan memuatnaik kenyataan dengan sengaja berunsur hasutan yang boleh mendatangkan suasana tidak harmoni, perpecahan, perasaan permusuhan dan boleh mengganggu gugat ketenteraman serta keselamatan awam.
“Keempat-empat kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Hasutan iaitu kecenderungan menghasut serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKMM) 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan awam,
“Semua siasatan lanjut masih diteruskan,” katanya.
Huzir berkata, bagi menjamin kesejahteraan dan keharmonian masyarakat, polis menggesa orang ramai supaya mendokong prinsip rukun negara iaitu kesetiaan kepada raja dan negara.
“Saya juga ingin menegaskan agar orang ramai tidak menerbitkan atau mengedarkan apa-apa kenyataan, khabar angin atau berita yang mempunyai kecenderungan menghasut, yang boleh mendatangkan susasana tidak harmoni serta menggugat ketenteraman dan keselamatan awam,
“PDRM tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan yang tegas dagi mengheret pesalah ke muka pengadilan,” tambah Huzir.