JELI, 30 Nov – Anggota tentera dari Batalion ke-2 Rejimen Renjer Diraja (2 RRD) dengan bantuan anggota dari 7 Skuadron Rejimen Askar Jurutera Diraja (7 Skn RAJD) telah menemui tiga laras raifal automatik, AK-47 bersama kelopok peluru yang ditanam di Tanah Felcra Kemajuan Gemang, di sini petang semalam.
Menurut laporan, ketiga-tiga senjata dan kelopak itu telah ditanam dalam tanah sedalam kira-kira 1.5 kaki dan dibalut dengan kanvas dalam sebuah guni.
Penemuan tersebut berlaku ketika sepasukan anggota tentera dari 2 RRD sedang melakukan rondaan di kawasan itu.
Sementara itu, memetik laporan Portal Berita Harian, Panglima 8 Briged, Brig Jen Muhammad Huzaimi Sabri, berkata maklumat mengenai senjata itu adalah hasil daripada risikan anggotanya.
“Setiba di lokasi yang dikenal pasti, anggota 2 RRD menggali tanah dalam semak itu dan menemui tiga laras senapang yang ditanam bersama.
“Kita percaya tiga laras senapang itu adalah dari Thailand kerana di negara ini tiada senjata jenis itu digunakan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Ketiga-tiga senapang itu kemudiannya diserahkan kepada pihak polis di Balai Polis Bukit Bunga, Jeli dan tiada tangkapan dibuat.