KUALA LUMPUR, 9 Jun – Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) komited memastikan pemantauan serta keselamatan maritim dan perairan negara terjamin menjelang sambutan Aidilfitri minggu depan.
Panglima Tentera Laut Laksamana Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin berkata komitmen itu dibuktikan dengan penempatan 11 aset utama milik TLDM dan anggota.
“Seramai 939 pegawai dan anggota TLDM akan bertugas di laut manakala seramai 1,202 pegawai dan anggota TLDM pula akan bertugas di pangkalan di seluruh negara,” katanya ketika berucap sempena perutusan Aidilfitri TLDM di Auditorium Wisma Pertahanan, Kementerian Pertahanan(MINDEF), Jalan Padang Tembak.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata seluruh warga (pegawai dan anggota TLDM) KD Lekiu menempa sejarah tersendiri dengan menyertai eksesais maritim terbesar, Rim of the Pacific (RIMPAC) 2018 di kepulauan Hawaii, Amerika Syarikat.
Seramai 150 anggota KD Lekiu mula belayar sejauh 6,628 batu nautika 25 Mei lepas dan dijangka tiba di Hawaii pada 25 Jun sebelum menyertai eksesais itu hingga 29 Julai dan dijadual tiba di tanah air pada 31 Ogos.