KUALA LUMPUR, 29 Jun – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan Selamat Hari Raya Aidiladha kepada seluruh rakyat Malaysia yang beragama Islam.
Menerusi catatan di Facebook Istana Negara, Seri Paduka turut berdoa supaya segala pengorbanan rakyat Malaysia dalam menjaga keharmonian serta kesejahteraan negara akan diberi ganjaran yang setimpal oleh Allah SWT.
“Seri Paduka turut berdoa semoga jemaah haji Malaysia memperoleh haji yang mabrur dan selamat pulang ke tanah air tercinta,” menurut catatan itu pada Rabu.
Menurut Istana Negara, Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah dengan keizinan Allah SWT berangkat untuk berwukuf di Arafah dan seterusnya bermabit di Muzdalifah pada 27 Jun 2023.
Turut berangkat ialah Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan turut sama mengiringi ialah paduka-paduka anakanda Seri Paduka. -airtimes.my