PETALING JAYA, 23 Sept – Bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) Datuk Seri Ahmad Said Hamdan, 67, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 9, Kota Damansara, kira-kira pukul 11.40 pagi tadi.
Anak kedua Allahyarham Nurul Sabila Ahmad Said ketika ditemui berkata ayahnya meninggal dunia di rumahnya di Rawang, pada pukul 11.06 malam tadi.
“Ayah memang ada sakit jantung sebelum ini dan telah dirawat di Institut Jantung Negara (IJN) sejak April lalu.
“Namun, ayah dibenarkan pulang oleh IJN pada 17 Sept (Selasa) lalu dan dibawa ke rumah saya.
“Bagaimanapun, sejak waktu Maghrib semalam, ayah dah pun menunjukkan tanda-tanda ingin pergi kerana tercungap-cungap apabila bernafas dan kami sempat kumpulkan seluruh ahli keluarga untuk bertemu ayah,” katanya kepada pemberita selepas pengebumian Allahyarham di sini, hari ini.
Nurul Sabila berkata, ayahnya tidak bercakap sejak sakit dan hanya menggunakan gerakan mata dan kening untuk berkomunikasi.
“Tapi (Allahyarham) respon dengan baik..mendengar dengan baik. Cuma ayah tiada upaya nak bercakap,” jelasnya.
Ahmad Said yang meninggalkan enam orang anak dan 12 cucu merupakan Ketua Pesuruhjaya SPRM daripada 14 Mei 2007 hingga 31 Dis 2009 sebelum digantikan oleh Tan Sri Abu Kassim Mohamed.
Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SRPM Latheefa Koya hari ini merakamkan ucapan takziah mewakili seluruh warga SPRM terhadap pemergian Allahyarham.
“Seluruh warga SPRM mendoakan supaya roh Allahyarham ditempatkan di kalangan orang beriman,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Nurul Sabila, bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Abu Kassim Mohamed dan Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah antara yang menziarahi jenazah bapanya. – Bernama