KUALA LUMPUR, 22 Okt – Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata beliau tidak mempromosikan barang-barang di dalam kabinet semasa mengadakan sidang media mengenai Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) setiap hari.
Ismail Sabri mengulas mengenai gesaan Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh agar beliau berhenti mengadakan sidang media harian jika tiada pengumuman substanstif yang dapat membantu rakyat.
“Dia kan pembangkang, kalau tak bangkang tak sah bagi dia, agaknya dia bangkang la apa sahaja,
“Kabinet yang dah ada takkan dibuang, kalau dah ada disini..ini kabinet Kementerian Pertahanan dah ada sini, jadi saya tak tahu apa dia (Kementerian Pertahanan) nak letak apa kat belakang tu, benda dah ada saya biarkan,” katanya pada sidang media harian hari ini.
Menurut Ismail Sabri, sidang media harian adalah untuk memaklumkan apa tindakan-tindakan yang dibuat pihak berkuasa dalam penguatkuasaan PKPP.
“Saya memaklumkan tindakan-tindakan harian, rakyat nak tahu apa yang dilakukan pihak berkuasa terhadap pihak yang gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP),
“Kalau saya tak laporkan, rakyat menganggap kerajaan tidak lakukan apa-apa pun terhadap orang yang melanggar SOP,” katanya.
Tambahnya, rakyat juga ingin tahu apa tindakan kerajaan dalam menyekat kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI).
“Sebab itu saya setiap hari melaporkan bahawa tindakan kerajaan untuk menyekat kemasukan PATI dilaksanakan oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pihak berkuasa lain,
“Setiap hari saya umumkan berapa jumlah tangkapan PATI dan tekong, bagi rakyat sedar bahawa kerajaan melakukan sesuatu untuk menyekat penularan COVID-19 yang dbawa oleh PATI
Katanya, setiap hari ada dua perkara dilakukan, beliau akan bersiaran langsung untuk memaklumkan tindakan kerajaan dibawah aspek keselamatan manakala Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah pula akan melaporkan dari segi kesihatan dan tindakan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Jadi itulah yang saya laporkan setiap hari, mungkin ahli parlimen itu nak laporan yang lain saya tak tahu apa laporan lain yang diperlukan,
“Tapi tak apalah, saya pun dah beritahu tadi, saya tak nak cakap apa-apa, lupakan perbezaan politik, saya nak ajak dia bersama-sama supaya fokuskan tenaga kita untuk memerangi pandemik COVID-19 ini,” tegasnya.
Sebelum itu, Hannah Yeoh menerusi hantaran di media sosialnya mengesa Ismail Sabri berhenti mengadakan sidang media harian jika tiada pengumuman substanstif yang dapat membantu rakyat.
“Sidang media bukan tempat untuk mempromosikan baju atau barang pameran di rak. Ini kerana semakin banyak yang diumumkan, orang awam menjadi semakin keliru,
“Hentikan kekeliruan, ia akan menghentikan Covid! Apa yang paling menakutkan kita ialah sekiranya Covid-19 tidak pun membunuh ekonomi kita, semestinya ketidakcekapan para Menteri akan melakukannya!,” ujarnya. – airtimes.my