KUALA LUMPUR, 3 Jan – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dituntut untuk memberi penjelasan berhubung isu ketiadaan peruntukan terhadap Ahli Parlimen pembangkang terutamanya negeri yang diterajui oleh Perikatan Nasional (PN) seperti Perlis,Kedah,Terengganu dan Kelantan.
Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim menjelaskan, Ahli Parlimen Hulu Langat, Mohd Sany Hamzan tidak layak memberi penjelasan berhubung isu peruntukan berkenaan.
“Saya telah mendapat maklumat bahawa semua ahli Parlimen dari kerajaan telah mendapat peruntukan,
“Tetapi hingga ke hari ini tiada peruntukan yang diterima oleh pembangkang terutamanya negeri yang diterajui Perikatan Nasional (PN) seperti Perlis, Kedah, Terengganu dan Kelantan,
“Saya tidak perlu mendengar penjelasan dari Ahli Parlimen Hulu Langat. Ini kerana saya merasakan penjelasan beliau sesuatu yang tidak layak. Saya hanya perlukan penjelasan daripada Perdana Menteri,” katanya menerusi satu hantaran di laman Facebook, hari ini.
Beliau turut meminta supaya peruntukan yang diagihkan kepada Ahli Parlimen kerajaan turut diterima Ahli Parlimen pembangkang, seiring dengan janji manifesto pilihan raya mereka.
“Saya menuntut hak kami sebagai Ahli Parlimen untuk diagihkan kepada rakyat. Jadi tidak wajar apabila duit kerajaan diedarkan secara tidak adil. Bersesuaian dengan manifesto Pakatan Harapan (PH) iaitu memberi peruntukan sama rata untuk semua Ahli Parlimen,” tagasnya lagi.
Semalam, Mohd Sany mempersoalkan dakwaan Shahidan berkaitan isu peruntukan itu, dengan mendakwa Ahli Parlimen Arau itu cuba memancing dan menekan Kerajaan Perpaduan supaya mereka juga diberikan peruntukan sama dengan wakil kerajaan menerusi Belanjawan 2023.
Mohd Sany juga menyifatkan tuduhan Shahidan itu bersifat melulu dan berniat jahat, sambil mengucapkan ‘selamat memancing’ dan selamat mencuba kepada bekas Ketua UMNO Bahagian Arau itu. -airtimes.my