PUTRAJAYA, 1 Mac – Kementerian Pertahanan hari ini membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung pelaksanaan projek Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) oleh kerajaan terdahulu.
Pegawai Tugas-Tugas Khas kepada Menteri Pertahanan, Rafizal Ali berkata pihaknya hadir ke ibu pejabat SPRM bagi menyerahkan hasil siasatan oleh Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK) yang dipengerusikan oleh Tan Sri Ambrin Buang berhubung pelaksaan projek itu.
“Dalam hasil siasatan yang dibentangkan kepada pihak kementerian 28 Januari lalu, JKSTUPKK telah mendapati pelaksanaan projek AES lebih menguntungkan syarikat konsesi dan meletakkan kerajaan dalam risiko kerugian.
“JKSTUPKK juga mendapati wujud campur tangan anggota pentadbiran kerajaan termasuk bekas Perdana Menteri dan beberapa Menteri Kabinet kerajaan terdahulu yang lebih menjurus kepada kepentingan politik”, ujarnya.
Menurutnya jawatankuasa siasatan mendapati wujud keraguan mengenai cadangan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) untuk mengambil alih projek hanya dibuat dalam perbincangan tanpa diminitkan antara bekas Perdana Menteri dengan beberapa menteri pada September 2014.
“Jawatankuasa siasatan berpendapat pemilihan syarikat LTAT untuk mengambil alih AES adalah lebih kepada cubaan untuk menutup tuduhan bahawa kerajaan cuba melaksanakan bail-out.
“Wujud keraguan mengapa LTAT perlu membayar dengan jumlah RM555 juta bagi mengambil alih AES sedangkan kos asal adalah sebanyak RM 40 juta”, katanya.
Laporan ini dibuat agar satu siasatan lanjut dilakukan bagi mengenal pasti punca disebalik arahan atau cadangan supaya LTAT mengambil alih AES dengan harga RM555 juta iaitu melebihi harga pasaran sekaligus mendedahkan wang pencarum anggota tentera kepada risiko kerugian, jelasnya.