KUALA LUMPUR, 22 Jan – Perhimpunan #TangkapAzamBaki hari ini berjaya menyampaikan mesej kepada kerajaan walaupun pada mulanya ia dihalang berarak ke Dataran Merdeka seperti dirancang.
Aktivis politik, Adam Adli Abdul Halim menegaskan, himpunan tersebut terpaksa bertukar lokasi iaitu di Jalan Bangsar bagi mendesak siasatan terhadap Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki kerana terpalit dengan isu pemilikan saham.
“Kita minta Azam sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM disiasat, rombak segera kepimpinan SPRM kerana ia sebagai institusi utama menjaga integriti dalam negara,
“Bantahan ini dibuat bukan sebab individu bernama Azam Baki semata-mata sebalik ia melibatkan sebuah instisusi yang menjaga integriti negara dan ia merosakkan institusi sampai ke akar umbi,
“Kalau nama Ketua Pesuruhjaya SPRM itu Anwar Ibrahim pun kita akan lawan, ini soal institusi,” katanya kepada pemberita selepas Perhimpunan #TangkapAzamBaki diadakan di Jalan bangsar, hari ini.
Adam berkata, pihaknya akan meneruskan kempen tersebut menerusi lain-lain saluran kerana apa yang berlaku di dalam SPRM adalah sesuatu perkara yang besar didalam sesebuah institusi.
Selepas lebih sejam berkumpul, peserta himpunan #TangkapAzamBaki berarak dari stesen LRT Bangsar akhirnya bersurai secara aman kira-kira 12.40 tengah hari
Pihak polis hanya membenarkan peserta berarak dari Stesen LRT Bangsar ke penghujung Jalan Bangsar menuju ke persimpangan Brickfields kira-kira 600 meter dari tempat mereka berkumpul.
Sebaliknya sebelum bersurai, peserta demo melaungkan “boo” beberapa kali sebagai bantahan kepada Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki kerana enggan berundur.
Mereka kemudian menyanyikan lagu Negaraku sebelum bersurai kira-kira jam 12.40 tengahari.
Terdahulu, kira-kira 250 peserta berpakaian serba hitam berkumpul menyertai demo berkenaan sejak jam 10.30 pagi tadi.
Laungan “Hidup Rakyat! Tangkap Azam Baki!” bergema di seluruh stesen LRT Bangsar yang dilaungkan sepanjang perhimpunan #TangkapAzamBaki berlangsung.-airtimes.my