KOTA KINABALU, 29 Jan – Kumpulan militan Abu Sayyaf dan mereka yang menjalankan kegiatan menculikan bagi mendapatkan wang tebusan dari selatan Filipina masih cuba menceroboh untuk melakukan penculikan serta jenayah rentas sempadan.
Sehubungan itu, Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hazani Ghazali menjelaskan, perintah di 7 daerah dalam Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE) yang berakhir pada 6 petang hari ini akan dilanjutkan hingga 14 Februari 2020.
Hazani berkata, perintah berkurung dari 6 petang hingga 6 pagi itu meliputi kawasan perairan Tawau, Semporna, Kunak, Lahad Datu, Kinabatangan, Sandakan dan Beluran.
“Perintah ini diteruskan bagi memastikan kawasan perairan berkenaan tidak diceroboh pengganas yang mengancam keselamatan sekali gus menjamin keselamatan dan kesejahteraan rakyat Sabah yang menjadi pengguna perairan dan rakyat berada di kawasan daratan ESSZONE,
“Arahan itu dilanjutkan bagi memudahkan penguatkuasaan serta pemantauan terhadap pergerakan bot selain menimbulkan rasa selamat dan yakin kepada pengusaha chalet selain nelayan dengan kehadiran kapal anggota keselamatan di sekitar kawasan terlibat,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat. – airtimes.my