SUBANG, 26 Jan – Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) telah menerbangkan 1,500kg barangan bantuan kemanusiaan daripada Kementerian Pertahanan di bawah Program Mindef Prihatin ke Kota Kinabalu, Sabah, hari ini.
TUDM dalam kenyataan berkata, penghantaran bantuan kemanusiaan kepada rakyat Sabah yang terkesan akibat bencana banjir ini telah diterbangkan menggunakan pesawat A400M dari No.22 Skuadron, Pangkalan Udara Subang pagi tadi.
“Antara barangan Program Mindef Prihatin yang dibawa menerusi penerbangan pagi ini adalah kain batik, kain pelikat, telekung, tilam, tikar, ‘hygiene kit’, baju sejuk kanak-kanak dan selimut dengan anggaran berat keseluruhan 1,500 kg,
“Selain itu, TUDM turut membawa 3,173 kg kotak bantuan kemanusiaan yang disumbangkan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang mana turut akan disalurkan kepada rakyat Sabah yang terkesan akibat banjir,
“Pesawat itu diterbangkan oleh Mejar Tengku Syed Muhammad Amin TUDM dan Kapten Mohamad Ridhwan TUDM selaku pembantu juruterbang serta dibantu 3 orang loadmaster telah berlepas pada jam 7.00 pagi tadi,” katanya.
Selain penghantaran barangan bantuan untuk pasca banjir, TUDM turut melaksanakan penghantaran alatan perubatan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan membawa pulang sampel COVID-19 daripada Labuan, Tawau serta Kota Kinabalu ke Subang untuk dihantar ke makmal di semenanjung. –airtimes.my
Gambar galeri: