KUALA LUMPUR, 17 Jan – Tempoh dua bulan yang diberi kepada jawatankuasa sementara Majlis Media Malaysia (MMC) mencukupi untuk membuat cadangan bagi menyediakan rang undang-undang majlis itu, kata tokoh media Datuk A Kadir Jasin.
Beliau berkata tempoh itu tidak terlalu singkat memandangkan sebahagian besar anggota jawatankuasa sementara yang dibentuk hari ini sudah terlibat dalam perbincangan cadangan penubuhan majlis itu sejak lebih setahun lepas.
“Kebanyakan mereka yang duduk di situ sudah terbabit dengan beberapa siri perbincangan. Lagipun sudah ada hampir 10 cadangan, perlu susun sahaja.
“Kita sudah tubuh jawatankuasa sementara untuk merangka, kita akan ada sesuatu untuk ditunjukkan hujung tahun ini,” katanya kepada Bernama selepas menjadi tetamu program televisyen ‘The Nation’, di Wisma Bernama semalam.
Beliau berkata tujuan majlis berkenaan ditubuhkan adalah bagi menaikkan taraf kewartawanan dan media, mengekal atau menambah baik keyakinan masyarakat terhadap media massa serta menyelesaikan pertikaian yang timbul di antara media dengan masyarakat.
Kadir berkata dalam usaha merangka penubuhan MMC itu, implikasi terhadap undang-undang sedia ada juga perlu dilihat memandangkan majlis berkenaan secara bersendirian tidak boleh menjamin kebebasan media kerana terdapat undang-undang dan peraturan lain yang merangkumi media termasuk menyentuh kebebasannya.
Katanya majlis media yang ingin ditubuhkan itu tidak akan dapat berfungsi secara maksimum untuk mempromosi dan menjamin kebebasan akhbar sekiranya akta yang berkaitan seperti Akta Mesin Cetak dan Penerbitan tidak dimansuhkan atau dipinda.
“Media ini bukan sahaja tertakluk kepada akta-akta yang ditujukan kepada media tetapi juga tertakluk kepada banyak undang-undang dan peraturan lain yang menyentuh keseluruhan rakyat jelata dan mempunyai kesan yang besar terhadap media seperti Akta Hasutan 1948 dan Akta Rahsia Rasmi 1972,” katanya.
Kadir berkata selaras dengan janji kerajaan Pakatan Harapan, MMC ditubuhkan agar dapat memenuhi prasyarat untuk media di Malaysia menjadi lebih bebas kerana tidak ada keperluan daripada mana-mana pihak untuk campur tangan.
“Penubuhan majlis media itu secara langsung dan tidak langsung boleh membantu mengukuhkan kembali kepercayaan masyarakat terhadap media khususnya media arus perdana,” tambahnya. – Bernama