[embedyt] https://www.youtube.com/watch?v=adptZK1euS8[/embedyt]
MARAN, 8 Jun – Setelah menyumbangkan jasa kepada lebih 2,600 penduduk di Kampung Belimbing, akhirnya Jambatan Compact Bailey (CB) 200 kini dibuka semula untuk memberi laluan kepada pembinaan jambatan kekal yang roboh pada 3 Januari 2021.
Pegawai Memerintah 91 Rejimen Bantuan, Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD), Kolonel Mohd Zulhairi Mohd Noor berkata, proses membuka jambatan CB 200 ini dilakukan setelah mendapat kebenaran daripada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) Maran.
“Perancangan telah dibuat sebulan yang lalu, dengan mengadakan mesyuarat bersama stakeholder yang terlibat,” jelasnya kepada Air Times ketika ditemui semasa meninjau kerja-kerja membuka jambatan CB 200 di Kampung Belimbing, Maran, pada Rabu.
Beliau berkata, seramai 4 orang pegawai dan 50 anggota telah diaturgerakkan dari 91 Rej Bantuan RAJD untuk kerja-kerja membuka jambatan tersebut dan yakin ia dapat disiapkankan pada malam ini (7 Jun 2023).
“Kalau ikut dari segi perancangan, kami sampai semalam (6 Jun 2023). Walaubagaimana pun, kerja-kerja pembersihan sedang dilaksanakan oleh pihak JKR sehingga ke pagi ini,
“Jadi, kami memulakan tugas membuka jambatan lebih kurang jam 8 pagi tadi (Rabu) dan sehingga sekarang kerja-kerja membuka jambatan masih diteruskan,
“Kami jangkakan proses-proses membuka jambatan akan siap sepenuhnya malam ini. Kami bersama pihak JKR dan kontraktor akan cuba sedaya upaya untuk menyiapkan pada malam ini (Rabu) juga,” jelasnya lagi.
Sementara itu, Penolong Ketua Skuadron Bantuan Khusus 91 Rej Bantuan RAJD, Kapten Ts. Ghazali Yusof berkata, proses membuka CB 200 ini dimulakan dengan menggali dan meratakan tanah di tebing jauh serta tebing dekat.
“Kemudian, anggota meneruskan kerja-kerja membuka jambatan sehingga selesai,
“Anggota dibahagikan kepada 2 kumpulan iaitu kumpulan membuka jambatan dan satu lagi kumpulan memuat naik komponen yang telah dibuka ke dalam kenderaan pengangkut,” ujarnya.
Jambatan di Kampung Belimbing ini telah runtuh pada 3 Januari 2021 disebabkan hakisan tanah semasa banjir yang berlaku di kampung ini.
Jambatan CB 200 yang berukuran 33 meter panjang serta 7.3 meter lebar ini telah dikordinasikan oleh pihak NADMA bagi membantu penduduk setempat yang terjejas akibat banjir.
Selain 91 Rej Bantuan RAJD, pembinaan jambatan ini juga turut dibantu oleh JKR Maran, Jabatan Perhutanan Maran, Pejabat Tanah dan Daerah Maran.-airtimes.my