[embedyt] https://www.youtube.com/watch?v=kxe0dYLNcvY[/embedyt]
KUALA LUMPUR, 19 Jan – Menerusi Operasi Benteng (Op Benteng), Kor Armor Diraja (KAD) adalah salah satu pasukan yang telah dipertanggungjawabkan untuk memperkukuhkan sempadan negara.
KAD telah diaturgerakan ke Kawasan Tanggungjawab (KTJ) yang terkenal sebagai salah satu titik panas kemasukan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) di selatan tanah air. Tugas ini menjadi semakin mencabar apabila bermulanya musim tengkujuh pada setiap penghujung tahun.
Leftenan Kolonel Norazri Mohd Noor, Pegawai Memerintah kepada sebuah rejimen dari KAD tersebut turut mengakui bahawa pasukannya berhadapan dengan musim tengkujuh yang menyebabkan ombak bergelora dengan kuat dan hujan yang berpanjangan di kawasan tersebut.
Namun, beliau berkata, sebagai seorang anggota yang terlatih, anggota pasukan tetap bersemangat meneruskan tugasan demi menjaga keselamatan di perairan negara walaupun berhadapan dengan keadaan yang tak menentu.
Norazri menjelaskan, pasukannya telah dipertanggungjawabkan untuk menjaga sempadan negara dari pencerobohan PATI serta penyeludupan barang-barang terkawal di kawasan tanggungjawab menerusi Operasi Merpati 1 (Op Merpati 1) dan Op Benteng.
Op Merpati 1 bermula pada tahun 2003 dimana ia merupakan penugasan Tentera Darat Malaysia (TDM) dalam menjaga sempadan negara secara bersendirian. Akibat penularan wabak pandemik COVID-19 diseluruh dunia, kerajaan telah mengumumkan pelaksanaan Op Benteng bagi mengekang penularan wabak pendemik berkenaan.
Op Benteng pula telah diaktifkan sejak Mei 2020 dibawah National Task Force (NTF) dengan kerjasama Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan agensi penguatkuasaan lain bertujuan untuk mengekang kemasukan PATI yang boleh menyebabkan berlakunya penularan COVID-19 di dalam masyarakat.
Kolaborasi bersama agensi National Task Force (NTF)
Menurut Norazri, Op Benteng yang dikoordinasikan oleh NTF dengan kerjasama dari pihak-pihak dan agensi yang terlibat sangat berkesan dan ia telah diterjemahkan melalui hasil-hasil tangkapan yang diperolehi sepanjang operasi bersepadu ini.
“Operasi ini sekali gus berperanan bagi mengekang kemasukan PATI yang dilaksanakan secara bersepadu bersama agensi-agensi keselamatan yang lain,
“Pasukan kami turut mendapat kerjasama sepenuhnya daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Kor Kesihatan Diraja (KKD) dari ATM dalam menjayakan operasi ini,
“KKM telah memberikan prosedur operasi standard (SOP) dan panduan harian untuk anggota berhadapan dengan orang ramai terutamanya PATI sewaktu melawan penularan pandemik ini,” katanya ketika ditemui Air Times.
Tambahnya, kerjasama dari semua agensi dalam Op Benteng telah mempermudahkan operasi ini.
“Contoh kami TDM, apabila dapat menangkap PATI dalam norma baru, kami akan memanggil KKM untuk membuat ujian saringan COVID-19,
“Selesai di swab test, pihak kami akan membuat laporan di Balai Polis yang berhampiran dan selepas itu pihak polis akan mengiringi pasukan untuk menghantar PATI ke Jabatan Imigresen Malaysia (JIM),
“Apabila sampai di JIM, kami akan menyerahkan PATI yang ditahan tersebut kepada JIM untuk proses seterusnya. Ternyata kolobarasi antara ATM dan agensi lain sangat berkesan dan Op Benteng ini sangat bagus untuk masa hadapan dalam menjaga kedaulatan negara,” tambahnya.
Tahan PATI positif COVID-19
Sepanjang pelaksanaan operasi, Norazri turut menjelaskan, pasukannya juga pernah menahan PATI yang disahkan positif COVID-19 oleh KKM.
“Apabila mengetahui keputusan PATI tersebut, pasukan kami yang sememangnya mempunyai doktor perubatan terus menghubungi Pengarah KKM Johor di Kota Tinggi untuk membuat tindakan selanjutnya,
“Semasa di pusat pengumpulan, kami turut mengasingkan PATI yang diklasifikasikan positif di satu sel berasingan bagi mengelakkan penularan wabak tersebut kepada tahanan yang lain,
“KKM akan datang ke pusat pengumpulan di sini dan membawa PATI tersebut ke Hospital Permai secepat yang mungkin,
“Proses sanitasi pula akan dilakukan di kawasan yang menempatkan PATI positif COVID-19 dan anggota yang terlibat membuat tangkapan PATI pada hari tersebut,” ujarnya.
329 PATI ditahan dan rampasan bernilai RM1 Juta
Selain itu, Norazri menjelaskan, kolaborasi bersama Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan penggunaan teknologi dron ATM sangat membantu pengoperasian Op Benteng dalam mempertingkatkan serta mempercepatkan proses pencarian PATI yang cuba untuk meloloskan diri ketika penahanan dibuat.
“Kerjasama bersama anggota TLDM ketika operasi juga membuahkan hasil, apabila berjaya menangkap PATI dan bot pancung dari negara jiran yang ceroboh perairan negara,
“Operasi yang dilaksanakan secara bersepadu ini juga adalah untuk mengekang penularan wabak yang boleh membawa maut itu di dalam negara serta membanteras jenayah rentas sempadan,
“Sehingga kini, KAD telah berjaya menahan seramai 329 orang PATI kebanyakkan mereka dari Indonesia serta merampas barangan yang dianggarkan bernilai hampir RM1 juta,
“Selain PATI dan barangan rampasan, anggota pasukan juga telah menangkap PATI yang membawa dadah jenis syabu ketika pemeriksaan dilakukan,” tegasnya.
Beliau menjelaskan, tangkapan PATI bersama dadah tersebut merupakan kejayaan yang paling manis sepanjang perlaksanaan operasi kali ini.
“Tangkapan pertama melibatkan syabu seberat 750 gram yang dianggarkan berjumlah RM70 ribu, manakala tangkapan kedua melibatakan dadah seberat 200 gram dan dianggarkan bernilai RM11 ribu,
“Selain itu, anggotanya turut merampas pelbagai kenderaan awam, motosikal, kereta dan lori dalam tangkapan tersebut,” jelasnya.
Sehingga 11 Januari 2021, seramai 10,861 PATI, 854 tekong serta 426 penyeludup telah ditahan menerusi Op Benteng sejak 20 Mei 2020.
Pihak berkuasa juga telah merampas 227 bot atau kapal dan 1,174 kenderaan dalam operasi tersebut. –airtimes.my