[embedyt] https://www.youtube.com/watch?v=3p15O2zj0_g[/embedyt]
PENUGASAN anggota tentera yang terlibat dalam sesuatu operasi bukanlah mudah. Mereka sentiasa terdedah dan berhadapan dengan pelbagai risiko termasuklah binatang buas ketika melaksanakan operasi di persempadanan negara.
Pos Pemerhati atau Observation Post (OP) merupakan elemen penting dalam pelaksanaan Operasi Benteng (Op Benteng) oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) khususnya Tentera Darat Malaysia (TDM).
Ia memainkan peranan dalam mengenalpasti titik panas pendaratan pendatang asing tanpa izin (PATI) dan juga aktiviti penyeludupan.
Anggota OP diletakkan dikawasan hutan yang terpencil sebagai mata dan telinga bagi mengenalpasti kemasukan PATI dan penyeludupan barangan.
Anggota OP berhadapan binatang buas
Lokasi untuk OP juga memainkan peranan yang penting bagi menempatkan anggota yang sedang bertugas supaya tidak terlalu terdedah dengan ancaman binatang buas yang terdapat di kawasan tersebut.
Pegawai Memerintah Batalion Ke-5 Rejimen Sempadan (5 RS), Leftenan Kolonel Aliff Sufian Ahmad Shahuddin berkata, anggotanya turut berhadapan situasi yang membimbangkan apabila pernah terserempak dengan kesan tapak kaki harimau.
“Lokasi OP yang dipilih oleh pasukan selalunya berada dalam kawasan yang sangat terpencil dan berada dalam hutan tebal serta berhampiran dengan hutan rizab,
“Jadi risiko berhadapan dengan binatang-binatang liar seperti gajah, harimau dan ular berbisa sangat terdedah,” katanya kepada Air Times baru-baru ini.
Beliau turut mengakui, kawasan OP yang diadakan memang tidak selesa untuk dijadikan tempat tinggal dalam masa yang ditetapkan.
Namun, anggotanya tetap meneruskan penugasan demi menjaga sempadan negara dari dibolosi oleh PATI dan juga penyeludupan.
Kesan tapak kaki harimau, bertembung gajah
Menurut Aliff Sufian, anggotanya ketika dalam tugasan pernah bertembung dengan sekumpulan gajah liar berdekatan dengan OP.
“Walau bagaimanapun kami ambil pendekatan untuk beredar dari kawasan tersebut tanpa mengacau kawanan gajah yang berada disana untuk mengelakkan risiko diserang,
“Jadi kami beralih kepada satu tempat yang lain lebih jauh dari kawasan tersebut,” ujarnya.
Pada masa sama, anggota-anggota di pos pemerhati juga pernah ternampak atau pun mengesan tapak kaki harimau semasa melaksanakan rondaan.
“Jadi kami (anggota OP) ambil pendekatan untuk beralih ke tempat yang lain yang lebih terang dan dijangka selamat untuk kami berada disana,” jelasnya.
Anggota OP tidak dibenarkan buka lampu
Tambah Aliff Sufian, setiap anggota di pos pemerhati tidak dibenarkan untuk membuka lampu pada waktu malam untuk mengelak dari dijejak oleh tekong-tekong darat mahupun tekong laut.
“Anggota di OP dalam keadaan bersembunyi dan dibekalkan dengan night vision goggle (NVG), pakaian yang minimum, ransum tempur,
“Jadi tugas ini adalah untuk memerhati keadaan pergerakan yang mencurigakan daripada tengah laut mahupun daripada daratan,” tegasnya.
Aliff Sufian turut menjelaskan, anggotanya sentiasa bersiap siaga mengikut masa yang ditentukan bagi memerhati pergerakan keluar masuk PATI dari membolosi sempadan negara. – airtimes.my