[embedyt] https://www.youtube.com/watch?v=cGZkRze5ca0[/embedyt]
PENGERANG, 18 Jan – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah berjaya menahan 10 orang Pendatang Asing Tanpa Izin warganegara Indonesia yang cuba merentas sempadan negara secara haram, semalam.
Operasi tangkapan telah dilaksanakan oleh anggota Tentera Darat Malaysia (TDM) dari Kor Armor Diraja (KAD) seawal pukul 3 pagi.
Kehadiran PATI terbabit dilaporkan oleh orang awam di kawasan pesisiran pantai Kampung Sungai Buntu, Johor.
Menurut KAD, Pasukan Tindak Cepat (Quick Reaction Force, QRF) telah dihantar untuk mengepung kawasan tersebut.
“Operasi ini turut dibantu oleh Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang melakukan pengawasan di kawasan pesisir pantai.
“Aset dron turut diaturgerak bagi mengesan PATI yang cuba menyembunyikan diri dari ditangkap oleh QRF,” kata pihak KAD.
Usaha tersebut ternyata gagal apabila kesemua 10 PATI terbabit telah berjaya ditahan bersama barangan mereka.
Hasil pemeriksaan turut menemui dadah syabu seberat 200 gram yang dibawa oleh salah seorang PATI. Anggaran nilai dadah yang dirampas adalah sebanyak RM 11 ribu.
Kesemua tahanan telah dikendalikan mengikut prosedur operasi standard COVID-19 sebelum diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).
Detik-detik serbuan dan penangkapan kesemua PATI terbabit turut disiarkan secara eksklusif oleh Air Times yang sedang melakukan liputan Operasi Benteng.
Op Benteng merupakan usaha bersepadu Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dengan pelbagai agensi untuk melindungi sempadan negara dari sebarang aktiviti jenayah rentas sempadan seperti penyeludupan dan PATI. – airtimes.my
Galeri gambar: