PORT DICKSON, 22 Jun – Menjadi anggota tentera adalah insan istimewa dan terpilih, bukannya sebarang orang boleh menjadi anggota tentera kata Panglima Tentera Darat, Jeneral Datuk Seri Ahmad Hasbullah Mohd Nawawi.
Beliau berkata, anggota tentera berkhidmat 24 jam dan tumpuan serta perhatian mereka adalah untuk berkorban kepada negara.
“Peraturan-peraturan tentera memang kita (anggota tentera) akan guna pakai, kita tidak boleh mengguna pakai peraturan awam dalam tentera,” katanya kepada pemberita selepas majlis Perbarisan Tamat Latihan Perajurit Muda Lelaki Siri 188/18 di Pusat Latihan Asas Tentera Darat (PUSASDA), hari ini.
Menurut beliau, peraturan-peraturan tentera yang telah ditetapkan, menjadi salah satu sebab kriteria-kriteria manusia tidak boleh mengikut adat peraturan tentera.
“Mereka yang telah masuk dalam perkhidmatan tentera mempunyai latar belakang yang berbeza dan sekiranya tidak dapat mengekalkan disiplin lazimnya mereka akan berhenti awal atau diberhentikan tidak kira pegawai ataupun anggota,” ujarnya.