LOK KAWI, 13 OKT – Ketubukan Divisyen Kelima Infantri Malaysia (5 Div) kini dilengkapi dengan kehadiran elemen Mekanise bagi memperkukuhkan tahap kesiagaan Tentera Darat Malaysia (TDM) dalam mempertahankan kedaulatan negara.
Panglima 5 Div yang ke-5, Mejar Jeneral Datuk Malek Razak Sulaiman berkata, elemen Mekanise dari Batalion Ke-19 Rejimen Askar Melayu Diraja (19 RAMD) (Mek) dan 12 RAMD (Mek) masing-masing ditempatkan di Sandakan serta Lahad Datu.
“Manakala, 1 Skuadron Armor Di Kota Belud dan Detasmen Light Observation Helicopter (LOH) akan ditempatkan di Sandakan,” katanya ketika menyampaikan Perintah Ulung Panglima 5 Divisyen, di padang Kawad Rejimen Ke-6 Artileri Diraja (6 RAD), hari ini.
Selain itu, beliau memaklumkan, 5 Div juga akan diperkukuh dan dilengkapi satu lagi Briged Infantri, satu Batalion Mekanise, satu Rejimen Armor dan satu Rejimen Bantuan Am Artileri (SPH) untuk rancangan masa hadapan (ARMY4NextG).
Sebelum ini, Panglima Medan Timur Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Mohd Sofi Md Lepi berkata, kehadiran aset tempur di Sabah dan Sarawak adalah sebahagian daripada rancangan pembangunan kesiagaan serta keupayaan tempur di kedua-dua negeri.
Mengulas lanjut, Malek Razak mengingatkan kepada semua Panglima, Pegawai Memerintah dan Pemerintah serta staf pengurusan di formasi untuk memastikan kesiapsiagaan sentiasa ditingkatkan ke tahap yang optima.
“Saya berkehendakkan agar usaha yang lebih gigih dilaksanakan oleh setiap pemerintah dan staf di formasi dalam melengkapkan keperluan dan peralatan individu serta aset-aset pasukan,
“Ia adalah bagi memastikan warga Nerang Separang berupaya untuk berlatih dan memiliki kemahiran ketenteraan yang bertepatan serta berkesan,” ujarnya lagi. -airtimes.my